Ahad, 26 Februari 2017

*Raja Salman dan keluarga miliki harta RM 6.3 trilion, pemurah & penegak agama Islam*






Semua orang tahu Keluarga Diraja Arab Saudi kaya, tapi betapa kayakah mereka sebenarnya, dan daripada manakah mereka dapat kekayaan itu?



*HASIL MINYAK*


- Arab Saudi pengeluar minyak terbesar dunia 

- Mempunyai simpanan minyak kedua terbesar (belum digali)



*TAPI BETAPA KAYA MEREKA SEBENARNYA?*


- Anggaran USD$1.4 trilion, atau RM6.3 trilion (RM6,300,000,000,000). Berapa banyak kosong kat belakang tu?


- Raja Arab Saudi, Raja Salman secara peribadi: USD$18 bilion (RM81 bilion).



*TAPI APA MEREKA BUAT DENGAN DUIT BANYAK NI?*


Keluarga Diraja Arab Saudi ni amat pemurah, bukan sahaja kepada rakyat negara mereka tapi juga kepada negara-negara Islam lain. Contoh:


- Raja Salman, Raja Arab Saudi sekarang beri pendidikan & penjagaan kesihatan percuma kepada rakyat. *USD$2.7 bilion (RM12 bilion)* setiap bulan kepada ketua-ketua kaum untuk diberikan kepada mereka yang daif di bawah jagaan mereka.


- 1976-1987: Arab Saudi derma *US$49 bilion (RM221 bilion)* untuk bantu rakyat di negara-negara miskin


- 2015: Arab Saudi beri *US$2 bilion (RM9 bilion)* bantu Sudan


- *US$ 274 juta (RM1.2 bilion)* bantu Yemen


- Yayasan Clinton (bekas Presiden Amerika) terima derma politik *US$50 juta (RM225 juta)*.


- Arab Saudi pernah hulurkan *US$510 juta (RM2.3 bilion)* kepada kerajaan Pakistan pada 2010


> Keseluruhan lebih 4 dekad, sumbangan bantuan diberi *US$115 bilion (RM518 bilion)* kepada 90 negara untuk kebajikan dan pembangunan rakyat negara miskin selain memperkasakan agama Islam dan perhubungan politik.


> Putera Alwaleed bin Talal bin Abdul-Aziz Al Saud derma keseluruhan *US$32 bilion (RM144 bilion)* hartanya kepada badan-badan kebajikan dan pilihan!




*TAPI KENAPA MEREKA BERI SUMBANGAN DAN DERMA KEPADA NEGARA-NEGARA ISLAM LAIN?*


- Bantu umat Islam di negara miskin


- Kekalkan hubungan rapat dengan negara-negara Islam


- Kekalkan kekuasaan dan pengaruh Islam di negara-negara Islam


- Menentang kenaikan pengaruh ekstremis Islam di rantau tersebut



Semua umat Islam ini bersaudara dan perlunya mereka mainkan peranan bantu mengekalkan kekuasaan dan pengaruh Islam di sebanyak mungkin kawasan dan rantau di dunia.


Semoga Allah SWT terus memberkati dan merahmati kerajaan Arab Saudi, pemimpin-pemimpin Islam serta umat Islam di serata dunia.

--------------------- 

Rabu, 22 Februari 2017

KES BUNUH WARGA KOREA – POLIS KENAL PASTI TIGA LAGI SUSPEK



Kuala Lumpur, 22 Februari 2017 – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengenal pasti tiga lagi suspek yang terlibat dalam insiden pembunuhan warga Korea Utara pada 13 Februari lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato’ Sri Khalid bin Abu Bakar dalam kenyataannya sebentar tadi menyatakan ketiga-tiga suspek tersebut yang juga merupakan warga Korea Utara iaitu Ri Ji U (James), Kim Uk Il dan Hyun Kwang Song masih berada di dalam Malaysia serta pihak polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat untuk tampil membantu siasatan.

Dalam sidang media di Bukit Aman hari ini, beliau menjelaskan PDRM akan mendapatkan kerjasama daripada pihak konsulat negara terbabit bagi melicinkan proses siasatan.

Beliau turut mengingatkan kepada semua pihak agar tidak mempercayai sepenuhnya info-info yang tidak sahih berhubung dengan kes ini terutamanya di dalam media-media ‘online’ agar tidak mengganggu proses siasatan pihak polis.

Dalam pada itu, beliau turut menyentuh berkenaan isu paderi yang diculik baru-baru ini di Petaling Jaya di mana beliau menyatakan kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan juga isu tahanan lokap yang mati di Klang juga masih dalam tindakan pihak polis.


Murid Kanan Bruce Lee Akhirnya Dedah Cerita Sebenar Dato' Meor Tumpaskan Bruce Lee !!!


Seni bela diri yang sering dikaitkan dengan masyarakat melayu di nusantara semestinya seni bela diri silat. Satu nama yang tidak asing lagi dalam dunia persilatan adalah Dato’ Meor Abdul Rahman pengasas Pertubuhan Silat Seni Gayung Malaysia(PSSGM).  
 
Pastinya anda pernah mendengar kisah pertarungan antara Dato’ Meor dan Bruce Lee, berikut adalah kisah yang diketahui serba sedikit dari pertarungan tersebut. 


DATO’ MEOR ABDUL RAHMAN.

TARIKH LAHIR : 17/8/1915 di Kampung Lake Garden,Taiping,Perak. 

GURU : Syed Zainal bin Syed Idris Al-Attas (Hulubalang negeri Pahang)

SENI BELA DIRI : Silat Gayung(silat yang diamalkan oleh Dato’ Bahaman,Tok Gajah dan Mat Kilau

ANUGERAH : 
 
Hulubalang negeri Perak (sehingga 1938) 
 
Penghulu Besar Pulau Sadong,Indonesia (sehingga 1947) .Pegawai Polis berpangkat Sarjan di Ibu pejabat Polis Singapura .

Dianugerahkan Pingat King George lV (1947).
 
Dianugerahkan Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Cora Si Manja Kini Oleh Sultan Idris Shah (Sultan Perak). 

PENGASAS : Pertubuhan Silat Seni Gayung Malaysia(PSSGM) 

REKOD PERLAWANAN : 
 
1950 – Juara Gusti dunia dari
Eropah,KING-KONG (nama samaran) 
 
1970 – Donn F. Draeger(Pakar seni bela diri Jepun) 
 
1980’an – Ricky ‘the Dragon’ Steamboat(ahli gusti) Jan de Jong(selepas itumenjadi ahli silat gayung)

FAKTA MENARIK : Pada tahun 70’an,hampir 2/3 ahli Kabinet Malaysia adalah ahli persatuan seni silat gayung malaysia.


Perlawanan antara Bruce Lee dengan Dato’ Meor Abdul Rahman

Pada tahun 1973, Mahaguru Dato’ Meor Abdul Rahman telah keluar negara untuk melawat saudaranya yang menetap di England. Pemergian beliau ditemani oleh Dato’ Syed Ahmad Jamalullail, seorang saudaranya. Dalam perjalanan pulang ke tanahair, pesawat yang mereka naiki telah singgah sebentar di lapangan terbang di Hong Kong. Ketika menunggu penerbangan berikutnya, beliau telah disapa oleh Bruce Lee, pakar Kung Fu dan seni beladiri Jeet Kune Do. 

Bruce Lee telah mendapat tahu bahawa Mahaguru Silat Seni Gayong, Meor Abdul Rahman telah berada di Hong Kong. Setelah memperkenalkan dirinya sebagai Bruce Lee, si Raja Kung Fu, Bruce Lee telah mencabar Dato’ Meor Abdul Rahman agar bertarung dengannya. Beliau ingin melihat sejauh mana hebatnya seni mempertahankan diri milik orang Melayu yang dinamakan silat itu.

Bruce Lee dengan angkuhnya berkata jika Meor Abdul Rahman menang dalam pertarungan itu, silat Meor Abdul Rahman adalah yang terbaik, TETAPI jika Bruce Lee pula yang memenangi perlawanan itu, Seni Jeet Kune Do ciptaannya adalah yang terbaik di dunia. 

Kejuaraan Silat Sedunia 1987 di Kuala Lumpur (Dato’Meor Abdul Rahman Memakai Kot Biru)
 
Kehebatan Dato’ Meor Abdul Rahman rupa-rupanya telah sampai ke pengetahuan Bruce Lee. Sebelum daripada itu, pada tahun 1972, serombongan pakar-pakar Kung Fu Hong Kong telah datang ke Malaysia untuk mencari tokoh-tokoh seni beladiri yang dapat bertarung dengan Bruce Lee. Rombongan pakar Kung Fu ini telah berjumpa dengan Dato’ Meor Abdul Rahman di Taiping. 

Dalam pertemuan tersebut, mereka telah mencabar Dato’ Meor Abdul Rahman untuk menunjukkan kebolehan beliau. Dato’ Meor Abdul Rahman telah menangkap serta mengunci kesemua enam orang ahli-ahli Kung Fu tersebut. Kemudian, Dato’ Meor telah menyuruh ahli-ahli Kung Fu tersebut bertemu dengan murid kanannya pula iaitu Cikgu Ahmad bin Lazim. 

Memandangkan Bruce Lee masih muda dan mentah, Dato’ Meor Abdul Rahman telah menasihati Bruce Lee agar melupakan sahaja niatnya hendak mencuba beliau. Namun, Bruce Lee tetap berdegil juga. 

Oleh kerana Bruce Lee terus mendesak, maka Dato’ Meor Abdul Rahman akhirnya menyahut juga cabaran daripada Bruce Lee tersebut. Untuk mengelakkan keadaan daripada menjadi gempar, Bruce Lee dan Dato’ Meor Abdul Rahman dengan ditemani oleh beberapa orang menuju masuk ke dalam bilik tetamu di lapangan terbang tersebut. 

Sebaik sahaja melihat Dato’ Meor Abdul Rahman telah bersedia, Bruce Lee pun dengan kepantasan serangan kakinya pun mula mengasak. Setelah beberapa serangan berjaya dielak, akhirnya Dato’ Meor Abdul Rahman tiada pilihan lain melainkan bertindak balas dengan melepaskan satu pukulan tangan(Kipas Nandung) yang tepat mengenai rusuk Bruce Lee. 

Pukulan tangan Dato’ Meor Abdul Rahman yang nyata berbisa telah menyebabkan Bruce Lee jatuh tersungkur dan menggelupur kesakitan. Kerana belas kasihan ke atas Bruce Lee, Dato’ Meor Abdul Rahman pun menawarkan bisa pukulannya ke atas Bruce Lee menggunakan air yang didoakan dan disapu ke kawasan sakit tersebut. 

Setelah Bruce Lee pulih daripada kesan pukulan Dato’ Meor Abdul Rahman tersebut, akhirnya Bruce Lee dengan rendah diri, mengakui kehebatan Dato’ Meor Abdul Rahman dan ilmu silat yang dimilikinya. 

Tidak lama selepas peristiwa pertarungan Bruce Lee dengan Dato’ Meor Abdul Rahman ini, Bruce Lee dilaporkan telah meninggal dunia di Hong Kong akibat penyakit misteri.(Menurut Daniel Inosanto, murid kanan Bruce Lee, di hari-hari terakhir Bruce Lee sebelum beliau ditemui mati, Bruce Lee giat mengkaji tentang Seni Silat Melayu. 

Kini tugas Bruce Lee disambung oleh Daniel Inosanto, sebagai satu-satunya pewaris JKD yang ditauliahkan oleh Bruce Lee. Daniel Inosanto telah memasukkan Silat sebagai sebahagian daripada mata pelajaran Jeet Kune Do nya.)

Sumber : Media Sebenar

Selasa, 21 Februari 2017

KOREA UTARA: NEGARA YANG DIBINA ATAS KHAYALAN




Tak perlu risau apa Duta Korea Utara cakap. Dalam dunia diplomasi, pertarungan diplomasi atau "diplomatic tussle" itu biasa. Mula-mula Negara A dan Negara B kelihatan seperti tegang, tidak mahu bertolak ansur dan masing-masing berkeras kepala. Tetapi semuanya akan kembali ke normal selepas perundingan dibuat di belakang tabir. Wisma Putra tahu lah nak buat macam mana. 

Selain penting untuk menjaga kepentingan negara, "diplomatic tussle" juga penting untuk menjaga air muka negara. Soal air muka adalah sangat penting bagi sebuah negara seperti Korea Utara yang membina imejnya atas bohong dan khayalan, dengan kata lain, kuat temberang.

Temberang membolehkan rejim Keluarga Kim dapat bertahan hampir 70 tahun, sedangkan dari segi ekonomi ia serba kekurangan, dilanda kebuluran dan bergantung kepada bantuan asing. Tetapi melalui temberang (atau "propaganda"), Keluarga Kim masih dapat mempertahankan kedudukannya. 

Pernah baca novel George Orwell berjudul "1984"? (Yang mengaku "hipster" mesti pernah baca) Dalam cerita fiksyen ini, Orwell menggambarkan sebuah "distopia" (kata lawan kepada "utopia") di mana pemerintah bernama "Big Brother" telah berjaya mengawal fikiran masyarakat melalui propaganda yang memutarbelitkan kebenaran, seperti "war is peace" dan "freedom is slavery". Korea Utara adalah contoh terbaik negara "Orwellian", dan keluarga Kim adalah "Big Brother"-nya.  

Mula-mula, propaganda Korea Utara bertujuan untuk memberi alasan mengapa Kim Il-sung layak memerintah. Dalam poster propaganda, Kim Il-sung sentiasa kelihatan muda, segak dan gagah. Poster muka anaknya (Kim Jong-il) dan cucunya (Kim Jong-un) juga diubahsuai untuk buang lemak supaya nampak lebih kacak. 

Kerajaan Korea Utara mencipta mitos yang mengatakan Kim Il-sung adalah jelmaan dewa matahari ("il" 일 bermaksud matahari) dan hari kelahirannya (15 April) disambut sebagai "Hari Matahari" (Taeyangjeol 태양절). Kim Jong-il pula dikatakan sebagai jelmaan bintang "Gwangmyeongseong" (광명성) yang lahir di Gunung Baekdu, gunung kudus menurut kepercayaan tradisi Korea. Ini semua adalah untuk membangunkan pemujaan keperibadian ("cult of personality") yang menjadikan Kim Il-sung dan keturunannya sebagai idola untuk disembah. 

Rakyat Korea Utara diajar untuk mengucapkan ungkapan "manse" (만세 yang bermaksud "hiduplah 10,000 tahun") kepada pemimpin mereka, satu gelaran yang tak pernah dipakai oleh Raja Korea sekali pun. Dalam sejarah, Korea adalah sebuah tributari kepada China, jadi ia hanya menggunakan "cheonse" (천세 yang bermaksud "hiduplah 1,000 tahun") dan ungkapan "manse" ("mansui" dalam Bahasa Cina) adalah untuk Maharaja China yang dianggap lebih tinggi daripada Raja Korea. 

Kemudian, propaganda cuba membuat rakyat menerima pemerintahan Keluarga Kim buat selama-lamanya. Dengan itu, rejim Korea Utara mewujudkan pelbagai "feel good factors" dan juga "fear factors". "Feel good factos" cuba menyakinkan rakyat melalui berita palsu bahawa pemerintahan keluarga Kim telah berjaya membuat Korea Utara negara yang paling kaya, makmur dan maju di dunia. Korea Utara lah pemenang Piala Dunia FIFA. Korea Utara lah negara pertama sampai ke bulan. Itu dah bukan yakin diri, tetapi ilusi dan syok sendiri. 

"Fear factors" pula cuba menimbulkan perasaan paranoia di kalangan rakyat Korea Utara. Kerajaan mendakwa negara-negara asing, tak kira US, Jepun, China atau Russia, semua mahu menganiayai orang Korea Utara. Pembangunan senjata nuklear digunakan untuk menunjukkan "kehebatan" dan "kebijaksanaan" keluarga Kim dalam melindungi rakyatnya. Dan rejim Korea Utara cuba menyakinkan rakyatnya bahawa hanya Kim Il-Sung dan keturunannya sahaja yang mampu menyelamatkan Korea Utara. 

Rakyat Korea Utara yang bijak sikit dan berani melawan akan dibunuh. Yang tinggal akan dicuci otak dengan pelbagai propaganda. Di mana-mana sahaja di Korea Utara anda akan melihat patung dan poster mengenai Kim Il-sung, Kim Jong-il dan Kim Jong-un. Mereka yang melarikan diri akan mengalami kejutan budaya di negara asing, seolah-olah mereka baru bangun dari mimpi ngeri. 

Kim Il-sung mempunyai gelaran sebagai "Presiden Abadi" (yeongwonhan juseok 영원한 주석), konsepnya lebih kurang seperti Hitler punya "Thousand-Year Reich" (Tausendjähriges Reich). Cuma temberang Hitler terbongkar dalam masa tidak sampai 12 tahun, temberang Korea Utara pula masih dapat bertahan kerana kepentingan kuasa-kuasa besar. 

Jadi, apa nak hairan kalau Korea Utara menuduh Malaysia macam-macam, demi memuaskan imaginasi rakyatnya dan menyembunyikan kebenaran? Yang saya hairan ialah mengapa orang Malaysia yang berpendidikan tinggi, pakar ekonomi dan fasih agama pun boleh terikut-ikut dengan rentak Korea Utara?

Itu baru fitnah dari Korea Utara, pun ramai percaya. Nanti fitnah dari Dajjal macam mana?

Gambar:
*Poster pertama: "Dengan kekuatan dan kebijaksanaan kita, satelit buatan dilancarkan!" (uri him gwa jihyero, ingong jigu wiseong balsa 우리힘과 지혜로 인공지구위성발사!); "Menuju ke arah negara kuat dan makmur!" (gangseong daegugui cheotposeong! 강성대국의 첫포성!)
*Poster kedua: "Kalau berani memulakan pencerobohan" (chimryak jeonjaengeul ireukindamyeon 침략전쟁을 일으킨다면) “kita akan hancurkan anak haram Amerika!” (miguknom buteo baksalnael geosida 미국놈부터 박살낼것이다!)

Bacaan lanjut:
Hunik Kwon & Byung-Ho Chung (2012), North Korea: Beyond Charismatic Politics
Victor Cha (2012), The Impossible State: North Korea, Past and Future

Kredit - Ayman Rashdan Wong

Motif Korea Utara Terdesak Tuntut Mayat Jong-Nam Jadi Tanda Tanya



Pihak kedutaan Korea Utara dilihat begitu terdesak untuk menuntut mayat Kim Jong-nam sehingga sanggup menuduh serta memperlekehkan kerajaan serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mengendalikan kes berprofil tinggi itu.

Kesungguhan itu secara tidak langsung menimbulkan persoalan, apakah motif sebenar pihak kedutaan negara itu apabila turut cuba menghalang proses bedah siasat dijalankan ke atas mayat Jong-nam yang dipercayai mati akibat diracun pada Isnin lalu.

Sedangkan secara logiknya, sudah tentu mereka sedia maklum tentang prosedur dan undang-undang yang perlu dipatuhi di negara ini apatah lagi melibatkan kes kematian berunsur me­ragukan.

Menurut sumber, pihak terbabit bertindak sedemikian kerana cuba menutup satu konspirasi besar yang mungkin melibatkan kuasa besar di bawah pemerintahan diktator Kim Jong-un.

“Pihak keduta­an negara itu sebelum ini juga te­lah mengeluarkan kenyataan tidak akan me­nerima hasil bedah siasat di negara ini.

“Mereka sebenarnya mahu segera menuntut mayat Jong-nam dan kemudian melakukan bedah siasat sendiri yang hasil laporannya mungkin diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). Seterusnya kes ditutup,” katanya di sini hari ini.

Menjelaskan tindakan empat suspek lelaki warga Korea Utara meninggalkan negara ini sebaik sahaja kejadian itu berlaku, sumber itu memberitahu, kesemua suspek berkenaan kini dipercayai berada di negara asal mereka.

“Itulah tempat pa­ling selamat untuk mereka sekarang, me­reka tidak akan berada di negara lain kerana tindakan itu akan membuatkan mereka diburu oleh polis antarabangsa (In­terpol).

“Lebih baik berada di tempat mereka di­lindungi,” ujarnya.

Tambah sumber, per­kara itu mungkin akan membawa sedikit kesukaran bagi pasukan keselamatan negara ini untuk menjejaki keempat-empat lelaki berkenaan.

Pada Rabu lalu, Duta Besar Korea Utara ke Malaysia, Kang Chol melahirkan rasa tidak puas hati terhadap PDRM serta Wisma Putra kerana tidak dibenarkan me­nuntut mayat Jong-nam malah turut mengulanginya hari ini dalam satu sidang akhbar.

Semalam, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid menegaskan, siasatan termasuk bedah siasat perlu dijalankan kera­na kematian Jong-nam bersifat meragukan.

“Setiap kematian mengejut dan mencurigakan perlu disiasat. Mereka boleh komen apa sahaja tetapi kita hanya mengikut undang-undang negara ini,” jelasnya. – UTUSAN

Duta Korea Utara Bimbang Hukuman Tembak, Kata Diplomat Veteran



Duta Korea Utara, Kang Chol yang semalam membidas pihak berkuasa Malaysia dalam penyiasatan kematian Kim Jong Nam, berdepan hukuman tembak mati di negaranya sekiranya gagal memperlihatkan ketegasan dalam mewakili regim Pyongyang, menurut seorang diplomat veteran.

Kemungkinan itu sesuatu yang pernah berlaku, menurut bekas duta besar Malaysia ke China, Datuk Dennis Ignatius, menulis dalam FMT hari ini.

“Sekiranya beliau tidak tampak bersungguh-sungguh dan teliti dalam mempertahankan regimnya, beliau mungkin menerima nasib sama duta sebelum ini yang ditembak oleh pasukan skuad penembak selepas dipanggil balik dari Kuala Lumpur,” kata Dennis yang mempunyai lebih 3 dekad pengalaman diplomatik, dan mewakili misi Malaysia ke Beijing pada 1980-an yang turut bertanggungjawab dalam hubungan dengan Korea Utara.

Pada awal 2014, bekas duta Korea Utara ke Malaysia, Jang Yong Chol, dihukum tembak mati oleh regim Korea Utara.

Yong Chol merupakan anak saudara kepada Jang Song Thaek, bapa saudara diktator Korea Utara Kim Jong Un. Song Thaek dihukum bunuh bersama-sama seluruh anggota keluarganya termasuk 2 anak lelakinya pada Disember 2013.

Dennis berkata kebimbangan ini menyebabkan Kang Chol terpaksa mengambil pendekatan lebih drastik dengan mengecam Malaysia.

“Susah membayangkan beliau meneruskan jawatannya… Itulah bahaya yang menunggu kakitangan perkhidmatan diplomatik Korea Utara,” tambahnya.

Semalam, Kang Chol yang selama ini enggan bercakap kepada media, membacakan kenyataan akhbar membidas kerajaan Malaysia, sambil berkata pihaknya tidak yakin dengan sebarang penyiasatan terhadap Jong Nam, abang tiri kepada diktator Jong Un, yang dipercayai dibunuh oleh agen upahan Pyong Yang.

Rakaman video menunjukkan Jong Nam diserang 2 wanita dipercayai agen upahan Pyongyang, ketika berlegar di lapangan terbang tambang murah klia2 di Sepang, pada 13 Februari.

Permintaan Korea Utara sebelum ini supaya Malaysia menyerahkan mayatnya ditolak.

Semalam, Kang Chol mempersoalkan keputusan Malaysia melakukan bedah siasat dan mengingatkan Putrajaya yang Jong Nam memegang pasport diplomatik.

Dennis bagaimanapun menjelaskan, alasan Jong Nam memegang pasport diplomatik boleh dipersoalkan memandangkan akreditasi diplomatik itu tidak diiktiraf secara rasmi di Malaysia.

“Maksudnya, Malaysia mempunyai hak menentukan pelbagai kaedah menangani kes ini,” kata Dennis menulis dalam FMT.

Beliau turut mengingatkan kes kematian Jong Nam turut melibatkan dimensi hubungan antara Korea Utara dan China.

Beijing selama ini memberikan perlindungan kepada Jong Nam, walaupun negara itu menghulurkan pelbagai bantuan ekonomi kepada regim Korea Utara yang berdepan sekatan antarabangsa.

Menurut Dennis, pembunuhan Jong Nam sudah pun menerima reaksi keras daripada Beijing yang bertindak mengharamkan import arang daripada Korea Utara.

Beliau menambah, Malaysia juga perlu berhati-hati disebabkan hubungan rapatnya dengan China.

Beliau sekali lagi mempersoalkan Malaysia kerana masih mengekalkan kedutaannya di Pyongyang, sambil berkata hubungan itu tidak mendatangkan sebarang keuntungan kepada Malaysia.

“Tak ramai rakyat Malaysia yang membayar cukai akan hampa sekiranya kedutaan Malaysia di Pyongyang ditutup terus,” kata Dennis. – Fmt

Ahad, 19 Februari 2017

Benarkah Jalur Gemilang diciplak dari bendera Amerika Syarikat..?



MENGENANG JASA MOHAMED BIN HAMZAH

24 tahun sudah Allahyarham Mohamed bin Hamzah meninggalkan kita. Beliau menghembuskan nafas terakhir pada 19 Februari 1993, sebelum usianya genap 75 tahun, di Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru. Siapakah beliau? 

Beliau adalah pencipta Bendera Malaysia (juga dikenali sebagai “Jalur Gemilang” sejak 1997). Beliau adalah sosok yang usahanya dinafikan oleh mereka yang kata “Bendera Malaysia meniru bendera Amerika Syarikat”. Beliau adalah sosok yang dihina oleh mereka yang kata “Jalur Gemilang bendera penjajah”. Mereka kata hanya bendera “Sang Saka Merah Putih” sahajalah bendera Nusantara yang sebenarnya. 

Semasa hayat beliau, Allahyarham tidak menerima sebarang pengiktirafan. Allahyarham sendiri merahsiakan identiti beliau sebagai pencipta bendera bangsa. Hanya selepas 11 tahun pemergian beliau, baru beliau diiktiraf sebagai pencipta Jalur Gemilang oleh kerajaan Malaysia pada tahun 2005, hasil daripada tinjauan yang dibuat oleh Harian Metro dan Arkib Negara. 

Ketika Allahyarham berusia 29 tahun, Majlis Perundangan Persekutuan Tanah Melayu menganjurkan pertandingan merekacipta bendera bagi Tanah Melayu yang bakal merdeka. Allahyarham yang merupakan seorang arkitek Jabatan Kerja Raya Johor telah menyertai pertandingan tersebut. 373 karyawan telah menyertai pertandingan tersebut dan rekabentuk yang dikemukakan oleh Allahyarham menjadi salah satu daripada 3 rekabentuk yang terpilih untuk penilaian terakhir. 

Undian dibuka kepada umum dan hasil undian yang disiarkan oleh The Malay Mail pada 29 November 1949 menunjukkan 42% telah memilih rekabentuk Allahyarham yang menampakkan pengaruh bendera Johor, negeri asal beliau. Kemudian ia diperakui oleh Majlis Raja-Raja pada 23 Februari 1950. Siapa kata ia “bendera penjajah”?

Jalur Gemilang tidak menciplak bendera Amerika Syarikat. Bendera Amerika Syarikat yang direka oleh Betsy Rose adalah diilhamkan oleh bendera Syarikat Hindia Timur Inggeris (East India Company - EIC) yang menjajah Amerika Utara sebelum 1776. Bendera EIC pula diambil daripada umbul-umbul Kerajaan Majapahit bernama “Getih-Getah Samudera” yang mempunyai 9 jalur merah putih, selepas kapal EIC belayar ke Kepulauan Melayu pada abad ke-17. Siapa meniru siapa?

Kedua-dua Getih-Getah Samudera (jalur merah dan putih) dan Sang Dwaja/Pataka (merah dan putih) adalah variasi panji-panji kebesaran Kerajaan Majapahit. Jadi, kedua-dua Jalur Gemilang dan Sang Saka adalah warisan Nusantara. Malah, bendera jalur merah putih masih dikibarkan oleh Tentera Laut Indonesia dan dinamakan sebagai “Ular-Ular Perang”. Kaki geopolitik macam saya memang melihat Getih-Getah Samudera lebih padan dengan jati diri kita sebagai bangsa pelaut/maritim.  

Sayang sekali, Allahyarham tidak lagi bersama kita. Kita tidak dapat tahu apakah motif Allahyarham memilih corak Getih-Getah Samudera. Yang dapat saya lihat, Allahyarham telah berusaha untuk menggabungkan warisan identiti agama (bulan bintang Uthmaniyyah) dan warisan bangsa (jalur merah putih Majapahit) dalam representasi yang begitu moden dan dinamik (betapa indahnya corak jalur melambai ketika dibelai angin). Malang sekali, kalau Allahyarham masih hidup, pasti hati beliau teriris dengan pelbagai tuduhan yang tidak berasas. 

Sudah sampai masa kita berikan pengiktirafan yang sewajarnya kepada Allahyarham. Hormatilah insan mulia yang telah memberikan kita Jalur Gemilang yang menjadi inspirasi kita tak kira waktu gembira, suka atau duka. Simbol yang menyatupadukan kita semua. Lambang yang menjadi kebanggaan setiap anak Malaysia.

Terima kasih Allahyarham Mohamed bin Hamzah. Tenanglah engkau di sana.

“Puncak dunia telah kau tawan,
Lautan luas telah kau redah,
Membawa semangat jiwa Merdeka,
Semangat jaya kami warganya” 

Kredit - Ayman Rashdan Wong

#MalaysianHeroes  
#KnowYourHeroes

Jumaat, 17 Februari 2017

Fakta sebenar kes saman JAMIL KHIR,YAPEIM & PEMANGKIN


 


Malaysiakini melaporkan bahawa DS Jamil dan 6 lagi di saman oleh Mohd Yusoff A Bakar dan Ahmad Fazil sebanyak RM 20 juta. 

Walhal yg sebenarnya,Yapeim terlebih dahulu menyaman 2 individu ini.  

Besok adalah keputusan mahkamah utk dua individu ini yg boleh mengheret mereka ke penjara.  

Lucunya, apabila MK melaporkan tetapi YaPIEM masih tidak menerima saman tersebut. 

... 

Apa kisah yg sebenar? 

1.  Pemangkin adalah anak syarikat kepada YaPEIM. Pemangkin menjalankan aktiviti2 apa yg YaPEIM lakukan. Memandangkan aktiviti2 ini overlaping, maka YaPEIM "memansuhkan" Pemangkin. 

2.  Dengan pemansuhan Pemangkin, YaPEIM dapat menjimatkan RM 5 - 6 juta setahun.  Pemangkin hanya menerima dana dari YaPEIM. Tidak menjanakan pendapatan. Ini merupakan ketirisan yang tidak patut berlaku.  

3.  BOD bagi pemangkin ada 5 orang. Dua daripada adalah Mohd Yusoff dan Ahmad Fazil. Mereka berdua tidak bersetuju dengan pemansuhan Pemangkin. Maka, mereka berdua mengeluarkan RM 2.5 juta dari simpanan Pemangkin tanpa pengetahuan 3 lagi BOD Pemangkin. 

4.  Justeru, YaPEIM mengambil injuksi mahkamah agar segala akaun mereka dibekukan. 

5.  Esok merupakan keputusan mahkamah. Mereka dapat hidu keputusan mahkamah. Maka timbulah cerita kononnya nak saman DS Jamil dan YaPEIM. Malangnya, surat saman tak sampai. Mungkin waze rosak. 

6. Persoalan: Kenapa MK spin tajuk hingga mengheret orang ramai memaki DS Jamil Khir? 

7. Sebabnya - lusa DS Jamil akan hadir keperhimpunan RUU355. Serangan persepsi menjadi senjata lidah mereka (MK). 

Begitulah bagaimana mereka nak menjatuhkan institusi Islam di Malaysia yg mana mereka ini diketuai oleh Rabiji.


Khamis, 16 Februari 2017

Kami Sudah Ada Permit, Pihak Lain Jangan Cetuskan Kekecohan – PENGANJUR HIMPUNAN RUU355


Penga­njur Himpunan Rang Undang-Undang (RUU) 355 di Padang Merbok di sini pada Sabtu ini menggesa mana-mana pihak yang merancang untuk menga­da­­kan perhimpunan bantahan agar melakukannya di tempat lain.

Pengarah Himpunan RUU 355, Nasrudin Hassan berkata, pi­­hak­­­nya bimbang sekiranya perhim­punan bantahan terhadap Himpunan RUU 355 mahu juga dibuat di Padang Merbok, ia boleh mencetuskan suasana tidak selamat kepada orang ramai.

Menurut beliau, pihaknya ti­dak mempunyai sebarang masalah jika ada pihak lain mahu mengadakan perhimpunan bantahan namun mereka perlu mengikut peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

“Sekiranya ada pihak yang nak berhimpun sebagai tanda tidak setuju dengan perhimpunan ini, itu merupakan hak masing-ma­sing kerana negara kita merupakan negara demokrasi dan rakyat berhak mengadakan perhimpunan serta menyatakan pendapat.

“Kita tiada masalah, cuma sekiranya dibuat di lokasi sama, adalah tidak wajar kerana boleh mencetuskan kekacauan,” katanya di sini hari ini.

Bulan lalu, sebuah pertubuhan bukan kerajaan merancang mahu menganjurkan perhimpunan balas terhadap Himpunan RUU 355 pada hari yang sama.

Sementara itu, Nasrudin yang juga Ketua Penerangan Pas memberitahu, pihaknya meng­hargai kerjasama Dewan Ban­daraya Kuala Lumpur (DB­KL­) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menganjurkan perhimpunan tersebut.

“Kita menjangkakan seramai 200,000 orang akan hadir dalam perhimpunan ini dan kita mengucapkan terima kasih atas kerjasama yang diberikan oleh pihak berkuasa,” jelasnya.-UTUSAN

Rabu, 15 Februari 2017

Wajah Pembunuh Kim Jong Nam Di KLIA?

Kematian Kim Jong-Nam abang tiri kepada pemimpin Korea Utara di Lapangah Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam menimbulkan seribu satu misteri.
Sumber Malaysia dan Korea Selatan percaya beliau telah dibunuh oleh seorang wanita yang seakan-akan bangsa korea.

Agensi berita Korea Selatan melaporkan beliau telah disuntik dengan racun. Manakala Malaysia mendakwa mereka menyiasat kes sebagai pembunuhan menggunakan kain yang mempunyai cecair beracun diserkup ke muka Kim.

Kami mendapat rakaman CCTV KLIA yang disyaki suspek kes ini. Sumber memberitahu terdapat tiga wanita yang berpakaian dan hampir seiras di kesan di beberapa lokasi KLIA selepas pembunuhan tersebut.




Menurut Reuters Kim Jong-Nam merupakan musuh kepada pemimpin Korea Utara sekarang memandangkan beliau sentiasa mengkritik kerajaan Korea Utara dan berada di luar negara sejak sekian lama.

Agensi berita Korea Selatan, Yonyap turut mendakwa Kim dibunuh oleh ejen perisikan Korea Utara.

Selasa, 14 Februari 2017

PR1MA Perkenal Skim Pembiayaan Fleksibel


Perbadanan Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) memperkenalkan Skim Pembiayaan Fleksibel (SPEF) bagi membantu golongan berpendapatan pertengahan memiliki rumah sendiri.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Abdul Mutalib Alias berkata skim itu menawarkan akses kepada jumlah pinjaman lebih tinggi dan membolehkan pembeli yang layak membayar ansuran bulanan pinjaman rumah pada kadar lebih rendah daripada pinjaman biasa.'

Beliau berkata skim itu juga meningkatkan peluang kepada pembeli rumah pertama untuk mendapat pinjaman daripada pihak bank.

“PR1MA perkenalkan skim khas dikenali Skim Pembiayaan Fleksibel bagi memberi peluang kepada golongan berpendapatan pertengahan untuk memiliki kediaman sendiri.

“Skim SPEF merupakan kerjasama antara Bank Negara Malaysia, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan empat bank tempatan iaitu Maybank, CIMB, RHB, dan Ambank,” katanya dalam sidang media bagi memperkenalkan SPEF di sini, Isnin.

Menurutnya asas SPEF adalah pembiayaan ‘step-up’ atau berperingkat tanpa melibatkan pengeluaran mana-mana akaun KWSP manakala kaedah pembiayaan ‘step-up’ kedua adalah dengan pengeluaran akaun 2 KWSP, dan dalam tempoh lima tahun pertama hanya faedah yang perlu dibayar, bergantung kepada pilihan pembeli.

Jelasnya, pembayaran bagi jumlah ‘principal’ atau bayaran asas hanya akan dibuat mulai tahun keenam sehingga pembayaran pinjaman selesai.

“Pilihan ‘step-up’ berserta dengan pengeluaran dari akaun 2 KWSP bermaksud para pembeli kediaman PR1MA memperoleh akses kepada jumlah pinjaman yang lebih tinggi mengikut kemampuan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Mutalib berkata PR1MA menyasarkan untuk menyiapkan 15,000 unit rumah di seluruh negara pada tahun ini.

Katanya setakat Januari lalu sejumlah 260,188 unit kediaman telah diluluskan oleh Anggota Perbadanan PR1MA dan sebanyak 132,352 unit kediaman kini dalam proses pembinaan. – BERNAMA

Isnin, 13 Februari 2017

Tidak Ada Dana Yang Hilang, Kenyataan Saya Dipesongkan – Pengerusi FELDA


Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Tan Sri Shahrir Abdul Samad hari ini menegaskan bahawa kenyataannya berkaitan dana berjumlah RM6 bilion yang diterima FELDA selepas disenaraikan di bursa saham telah dipesongkan oleh beberapa portal berita dan turut menegaskan dakwaan tentang kehilangan dana berjumlah RM4.3 bilion di dalam FELDA tidak pernah berlaku.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru menjelaskan, beliau mempunyai senarai yang jelas mengenai perbelanjaan baki wang sebanyak RM4.3 bilion tersebut, antaranya digunakan bagi tujuan pelaburan jangka panjang oleh FELDA di dalam dan luar negara.

“Tidak ada dana yang hilang. Daripada RM6 bilion, FELDA telah belanjakan RM1.7 bilion kepada peneroka dengan setiap keluarga menerima bayaran sebanyak RM15,000.”

“Baki sebanyak RM4.3 bilion pula antaranya dibelanjakan bagi pembayaran ‘one off‘ kepada kerajaan negeri Sabah sebanyak RM300 juta dan Pahang sebanyak RM250 juta.”

“FELDA juga belanjakan untuk pinjaman perumahan peneroka sebanyak RM400 juta, perbelanjaan pengurusan sebanyak RM883 juta, selain pelaburan hartanah dalam dan luar negara, pembelian saham dan banyak lagi,” jelas Shahrir kepada media.

Shahrir berkata nilai pelaburan RM1.438 bilion itu kebanyakannya melibatkan sektor perkhidmatan perhotelan sebagai pelaburan jangka masa panjang yang memerlukan masa yang lama sebelum memberikan pulangan.

Mengulas lanjut kepada media berkaitan dana RM1.438 bilion itu, sebanyak RM304 juta telah digunakan bagi pembelian pelaburan hartanah yang merangkumi pembelian hartanah di Bukit Katil, 

Melaka, RM86 juta untuk membeli Grand Borneo Hotel di Sabah, RM548 juta untuk pembelian Apartmen Perkhidmatan Grand Plaza di London dan RM225 juta bagi pembelian bangunan Institut Penilaian Negara (INSPEN).

Selain itu RM110 juta digunakan untuk pembelian saham Iris Corporation Berhad.

Menurut beliau lagi, FELDA juga telah membeli semula FELDA Technoplant Sdn Bhd dengan nilai RM38 juta dan sehingga kini jumlah kerugian yang ditanggung FELDA adalah sebanyak RM108 juta melibatkan projek Transnovasi.

“Tugas saya (Pengerusi FELDA) adalah untuk memastikan kesemua pelaburan yang telah dilakukan FELDA berjalan mengikut perancangan, bagaimana pelaburan itu dilakukan dan memastikan pelaburan tersebut memberikan pulangan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan kepada media bahawa FELDA telah memutuskan untuk menjual sebuah hotel milik FELDA di London yang dibeli pada 2012.

Menurut beliau, proses penjualan sedang dilaksanakan dan dijangka dapat dimuktamadkan dalam waktu terdekat.

Jumaat, 10 Februari 2017

Pulau Batu Puteh: ICJ keluarkan teks permohonan Malaysia bagi semakan kehakiman



Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang berpejabat di The Hague telah mengeluarkan teks penuh permohonan Malaysia bagi semakan kehakiman terhadap penghakiman pada 2008 mengenai Pulau Batu Puteh atau Pedra Branca.

Fakta baharu yang mendorong Malaysia untuk memohon bagi semakan itu terkandung dalam tiga dokumen yang ditemukan di National Archives of the United Kingdom.

Dokumen itu ialah surat menyurat dalaman pihak berkuasa tanah jajahan Singapura pada 1958, laporan mengenai satu kejadian yang difailkan seorang pegawai tentera laut Britain pada 1958 dan satu peta berserta catatan mengenai operasi tentera laut dari tahun 1960-an.

Dokumen itu ditemukan di National Archives antara 4 Ogos, 2016, dan 30 Jan, 2017.

Dalam permohonan 18 muka surat itu, Malaysia berkata dua daripada dokumen itu hanya didedahkan kepada umum pada tahun berkenaan sejak ICJ memberikan penghakiman pada 2008 manakala tarikh pengeluaran dokumen ketiga itu tidak diketahui.

Dalam permohonan itu, Malaysia berkata dokumen yang baharu ditemukan itu menunjukkan persepsi Singapura bahawa Pulau Batu Puteh terletak dalam wilayah Singapura ditentukan menerusi tempoh kritikal bagi separuh pertama 1960-an yang ketika itu Singapura melalui beberapa perubahan perlembagaan, dan berterusan sehingga Februari 1966, yang pada masa itu Singapura tidak lagi menjadi sebahagian Malaysia dan telah menjadi negara merdeka berdaulat.

Dokumen pertama yang baru ditemukan itu ialah telegram rahsia dihantar pada 1958 daripada Gabenor Singapura kepada setiausaha negara British bagi negara dijajah sebagai respons kepada permintaan bagi ulasan berhubung cadangan untuk memperluas kawasan perairan Singapura daripada tiga batu kepada enam batu.

Gabenor Singapura itu menyatakan adalah penting kepada Singapura untuk had tiga batu sedia ada dikekalkan kerana akses ke kawasan Singapura akan terhalang sekiranya hak bagi had enam batu itu diterima oleh undang-undang antarabangsa secara amnya.

Atas sebab itu, beliau mencadangkan bahawa, sekiranya enam batu itu diterima sebagai had secara amnya, "ketetapan khas perlu dibuat untuk koridor laut tinggi antarabangsa yakni selebar satu batu di selat di antara wilayah Singapura dan Malaya di utara dan wilayah Indonesia di selatan". 

Beliau menyatakan laluan bagi koridor perairan antarabangsa itu hanya melalui satu batu dari Pulau Batu Puteh, tempat terletaknya Rumah Api Horsburgh.

Sekiranya beliau faham, atau sebaliknya telah dinasihati, bahawa Pulau Batu Puteh terletak dalam kedaulatan Singapura, dengan itu tidak perlulah untuk beliau menyokong ketetapan bagi satu laluan antarabangsa yang begitu dekat dengan pulau itu, kerana Singapura boleh menuntut hak ke atas kawasan perairan sekitar Pulau Batu Puteh.

Dokumen kedua ditemukan dalam fail arkib British bagi 1958.

Ia berkaitan dengan insiden membabitkan sebuah kapal Malaysia, Labuan Haji, yang diekori sebuah bot pembedil Indonesia berdekatan perairan "dekat Rumah Api Horsburgh" kerana ia "masih dalam kawasan perairan Johor".

Dokumen ketiga ditemukan dalam satu fail disediakan oleh Komander British bagi Armada Timur Jauh di bawah tajuk 'Naval Operations in the Malacca and Singapore Straits 1964-1966'.

Fail itu mengandungi penerbitan rahsia diedarkan oleh Komander bertajuk 'Orders for Ships Patrolling in Defence of Western Malaysian Seaboard'.

Himpunan arahan rahsia itu termasuk arahan bagi 'Restricted and Prohibited Areas - Singapore Territorial Waters', yang menyatakan kawasan-kawasan bagi pelaksanaan perintah berkurung pada waktu malam akan dikuatkuasakan, dan penetapan tiga kawasan dibenarkan bagi kegiatan penangkapan ikan pada waktu malam.

Bertarikh 25 Mac, 1962, satu peta menunjukkan had kawasan perairan Singapura pada satu titik di selatan Pulau Tekon Besar di Selat Johor; "ia tidak diperluas ke kawasan Pedra Branca".

Dalam permohonan itu, Malaysia menekankan bahawa ia tidak menjadikan permohonan bagi semakan itu mudah.

"Prosiding semakan adalah luar biasa. Kerajaan Malaysia memutuskan untuk mengemukakan permohonan ini hanya selepas membuat pertimbangan teliti.

"Permohonan ini bukan rayuan terhadap penghakiman pada 2008. Sebaliknya, ia membawa kepada perhatian mahkamah terhadap apa yang hanya diketahui oleh Malaysia baru-baru ini." - Bernama

Khamis, 9 Februari 2017

Siswa Jepun terkejut ada rakyat Malaysia tidak boleh cakap Melayu



Kagum dengan kepelbagaian kaum dan agama di Malaysia, seorang pelajar Jepun terkejut apabila menjumpai warganya tidak pandai berbicara dalam Melayu.
Masaya Ono, 21, menceritakan pengalamannya bercuti di beberapa negeri di utara Semenanjung seperti di Perak dan Pulau Pinang.
“Saya waktu itu berada di Ipoh dan menaiki GrabCar. Saya terkejut kerana apabila bertanya dalam Melayu tetapi pemandu tidak faham cakap saya.
“Mula-mula saya cakap bahasa Inggeris dan dia jawab bahasa Cina. Mujur saya ada asas Mandarin,” kata mahasiswa Universiti Bunkyo Gakuin itu kepada ProjekMMOminggu lepas.
“Saya juga ke kedai serbaneka di Pulau Pinang, dan pekerja di sana tidak berbahasa Melayu atau Inggeris. Terkejut kenapa ada juga rakyat Malaysia tidak tahu cakap Melayu.
“Tidak mungkin mereka tidak fasih bahasa rasmi?” soal pelajar ijazah kajian budaya dan antarabangsa itu, seorang peserta pertukaran mahasiwa di Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Di negara matahari terbit, kata Masaya lagi, rakyatnya dididik mengutamakan bahasa Ibunda, termasuk warga asing yang bekerja di sana.
Tetapi kejadian di Malaysia pelik apabila pekerja asing lebih fasih cakap Melayu berbanding rakyatnya sendiri, tambahnya.
“Kalau di Jepun kami memang mengutamakan bahasa kami sehingga ramai [warga Jepun] yang tidak tahu berbahasa Inggeris. Pelancong dan pekerja luar pun tahu [bahasa Jepun].
“Tetapi apa yang lebih mengejutkan, warga asing seperti saya lebih mahir berbahasa Melayu. Malah, pengawal keselamatan warga Nepal dan Bangladesh di rumah saya lebih mahir.
“Mereka [warga asing] sangat pandai. Bagaimana boleh jadi begitu? Ini memang pelik,” katanya,  yang sudah menetap enam bulan di Malaysia.
Namun anak bongsu, daripada dua beradik, dari Kanagawa itu mengakui bukan mudah mempelajari bahasa Melayu jika tidak bersungguh-sungguh.
“Mungkin, muka saya tidak seperti orang asing [Jepun]. Mereka ingat saya orang tempatan. Tetapi bagus juga, ia secara tidak langsung mengajar saya bercakap Melayu,” katanya.
“Kadang-kadang hendak beli makanan, peniaga tanya saya ‘Hendak makan apa? Makan sini?’.”
Selain bantuan rakan-rakan di UiTM, Masaya merujuk beberapa buku asas perbualan Melayu selain menggunakan kemudahan Google di telefon pintarnya.
Beliau berhasrat mengikuti kelas khas bahasa Melayu jika, kemudiannya, membuat keputusan untuk berhijrah ke Malaysia selepas tamat pengajian di Jepun pada 2018.
“Saya ada buku asas Melayu, selain Google apa yang saya tidak faham. Tengoklah, kalau hendak berhijrah nanti, kena ambil kelas khas supaya betul-betul mahir,” katanya. 

video

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...