Rabu, 12 April 2017

Maarof Zakaria, pengasas bank pertama untuk orang Melayu iaitu Malay National Bank.



Maarof Zakaria, pengasas bank pertama untuk orang Melayu iaitu Malay National Bank.  
Namanya diabadikan pada sebatang jalan di Bangsar, Kuala Lumpur iaitu Jalan Maarof.

Beliau adalah bapa pada pelakon veteran terkenal, Allahyarham Datuk Mustapha Maarof.

Maarof anak kelahiran Sri Menanti, Negeri Sembilan adalah antara kelompok Melayu elit yang mendapat pendidikan Inggeris yang hidup sezaman dengan tokoh pemikir Melayu, Zainal Abidin Ahmad yang digelar Pendeta Zaaba (16 September 1895 – 23 Oktober 1973).

Bekas peguam dan pegawai daerah di Perak itu juga seangkatan dengan nasionalis negara yang juga penulis, Ishak Haji Muhammad atau Pak Sako (14 November 1909 – 7 November 1991).

Bezanya, ketika nasionalis negara dan pemimpin politik sibuk berjuang untuk kemerdekaan, Maarof memilih haluan berbeza dengan mengasaskan bank pertama khas untuk orang Melayu iaitu Bank Kebangsaan Melayu, bertempat di Klang Street, di ibu negara.

Niatnya cukup jelas, jika orang Melayu mahu maju dalam politik dan membangun, mereka mesti mempunyai sistem ekonomi yang kuat, satu daripadanya ia melalui sistem perbankan yang sistematik.

Bagaimanapun Maarof telah diculik pada 4 Disember 1947 ketika dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Baru, Kuala Lumpur menuju ke rumah ibunya di Seremban, Negeri Sembilan.

Selepas tiga hari diculik, mayatnya ditemui dalam keadaan cukup menyayat hati, digantung pada sebatang pokok dalam hutan, berhampiran Batu 13, Jalan Kuala Lumpur-Bentong, Pahang pada Sabtu, 7 Disember 1947.

Ketika Berita Harian merancang untuk menulis laporan susulan menjelang genap 67 tahun kematian bapanya, pelakon veteran itu tenat dan beliau akhirnya menghembuskan nafas terakhir. Al-Fatihah.

Selepas menyiapkan laporan bersiri sebanyak tujuh episod, wartawan Berita Harian berkenaan berasakan masih ‘berhutang’ dengan Allahyarham Mustapha kerana gagal membantu menunaikan hasratnya untuk melihat kes pembunuhan bapanya dirungkaikan.

Allahyarham mahu kematian bapanya dibela dan pihak yang bertanggungjawab diadili sekali gus membersihkan nama tokoh Melayu itu kerana ada tuduhan liar mengatakan beliau membunuh diri.

Beberapa fail dan rekod lama berjaya dikumpul, termasuk daripada Arkib Negara dan mereka sempat mengunjungi sanak saudara Maarof di kampung kelahirannya di Seri Menanti, Negeri Sembilan, untuk mendapatkan maklumat tambahan.

Mustapha pernah meluahkan rasa hatinya mahu melantik peguam berwibawa untuk menyemak dan mengkaji semula kes itu tetapi menghadapi kekangan kewangan dan kes itu dilihat agak rumit kerana berlaku sebelum zaman merdeka.

Bahkan, cubaan untuk mendapatkan rekod lama di balai polis Bentong juga gagal kerana dimaklumkan, fail lama yang disimpan di dalam stor musnah selepas dua kali terbakar.

Mustapha cukup yakin bapanya menjadi mangsa komplot pihak tertentu yang tidak mahu melihat tokoh Melayu bangkit terutama dalam bidang ekonomi kerana penubuhan Malay National Bank itu dilihat bakal menjadi saingan kepada dua bank di Tanah Melayu ketika itu, The Chartered Bank milik British dan bank milik China iaitu Overseas Chinese Banking Corporation (OCBC).

Keluarganya percaya pihak yang cemburu dengan langkah berani Maarof mengambil tindakan drastik dengan menculik dan membunuh Maarof.
SEWAKTU hidupnya, arwah pelakon veteran itu juga pernah meluahkan isinya pada seorang wartawan Mstar.

” Saya ni hilang kasih sayang. Kasih sayang isteri dan kasih sayang seorang ayah,” ujarnya.

Penulis bertanya, semasa kejadian, adakah apa-apa perasaan yang beliau rasakan?

Dengan pantas Mustapha berkata, dia tidak begitu merasai apa-apa kehilangan kerana usia yang masih kecil ketika itu.

Namun ketika sedang membesar, baharulah Mustapha merasai beliau sebenarnya kehilangan seorang ayah yang hebat iaitu pengasas sebuah bank.

“Tahu atau tidak, apabila saya sudah besar, baru saya tahu nama Jalan Maarof (di Bangsar) itu diberikan sempena nama ayah saya… sebelum itu saya langsung tidak tahu mengenainya,” kata Allahyarham.

Menurut beliau, selepas diceritakan semula mengenai kematian arwah ayahnya itu, Mustapha mengakui beliau benar-benar sedih apatah lagi pembunuhan itu berlaku.

Tragisnya…

Kredit - syahrilkadir
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...