Selasa, 18 Februari 2014

Murid 9 tahun ancam ROGOL guru...!!!



Seorang ahli psikologi dari universiti tempatan berkata pendedahan yang keterlaluan kepada teknologi mungkin menjadi sebab mengapa kanak-kanak hari ini sering dikaitkan dengan isu-isu dan gejala salah-laku seksual.

Pakar  Psikologi, Profesor Madya Dr Mariani Md Nor dari Universiti Malaya (UM) berkata pelbagai maklumat kini mudah diakses dari internet yang boleh menyebabkan kanak-kanak terdedah kepada maklumat yang tidak sesuai termasuk unsur-unsur seksual.

Pada Isnin, negara dikejutkan dengan laporan seorang budak lelaki berumur sembilan tahun yang didakwa mengancam untuk merogol gurunya kerana tidak melantik rakannya sebagai ketua kelas.

"Kanak-kanak hari ini terlalu terdedah kepada teknologi di mana segala maklumat di hujung jari mereka," kata Dr Mariani Md Nor ketika dihubungi Astro AWANI.

Dr Mariani berkata kebiasaannya kanak-kanak menerima apa yang dikatakan oleh orang dewasa, dalam kes ini, kanak-kanak itu kecewa dengan keputusan yang dibuat oleh guru terbabit iaitu tidak melantik rakan sekelasnya sebagai ketua.

"Dia menjadi tidak berpuas hati dengan keputusan ini dan dia marah. Dia terpaksa melakukan sesuatu untuk melepaskan kemarahan dan itulah sebabnya dia menghantar cikgu tersebut mesej seperti itu, berfikir jika dia tidak berada di sana secara fizikal, dia tidak akan berhadapan masalah, "kata beliau.

Dr Mariani berkata, jika perkataan seperti 'rogol' telah digunakan, kemungkinan kanak-kanak itu menyedari maksudnya juga.

"Kanak-kanak masa kini lebih matang. Walaupun kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun tidak mencapai akil baligh tetapi tindakannya menunjukkan bahawa dia sudah mempunyai keinginan seksual," tambah beliau.

Beliau juga berkata budak lelaki itu mungkin kurang dalam pendidikan moral, justeru berkelakuan tidak menghormati gurunya.

Apabila ditanya kepada apakah jenis hukuman yang sesuai, Dr Mariani berkata,kanak-kanak itu patut dihukum dengan adil kerana dia masih kanak-kanak.

"Dia perlu dihukum hanya untuk memberi satu pengajaran untuk tidak mengulangi kesilapannya. Tetapi tidak terlalu keras, kerana ia mungkin akan memberi kesan jangka panjang terhadap kenak-kanak itu", kata Dr Mariani.

Sementara itu Astro AWANI telah menghubungi pengetua sekolah terbabit, Mohd Azilah Lazim, tetapi beliau enggan mengulas perkara itu.

Berita 'mengejutkan' ini telah diterbitkan dalam akhbar The Star, Isnin di mana seorang guru di Kedah telah didakwa menerima ancaman rogol dari seorang murid Darjah Tiga.

Menurut laporan itu, budak lelaki itu dari SK Lanai itu pada mulanya menghubungi guru tersebut menerusi telefon dan disusuli dengan pesanan SMS yang berkata "Cikgu, tunggu saya akan merogol kamu tidak lama lagi.”

Guru berusia 39 tahun itu  telah dilaporkan mengalami trauma dengan ancaman berani kanak-kanak itu dan telah membuat laporan polis di ibu pejabat polis Kuala Muda pada 14 Februari.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...