KOTA BAHARU: PAS Kelantan senada dengan beberapa pemimpin parti itu
menolak usaha pihak tertentu yang 'cuba' menjatuhkan kerajaan yang dipilih
rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu dengan cara keganasan dan demonstrasi
jalanan.
Timbalan Menteri Besar Kelantan,
Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah berkata hari ini usaha untuk menjatuhkan kerajaan
secara "Arab Spring" itu sebenarnya tidak membawa sebarang kebaikan
sebaliknya membawa banyak keburukan kepada negara.
"Kita di Kelantan sendiri pun
tidak pernah membincangkan sama ada perlu untuk kita berhimpun seperti yang
diadakan di negeri lain dan bagi PAS Kelantan adalah lebih baik untuk apa
sekali pun ia dilakukan mengikut kaedah demokrasi," katanya kepada
pemberita di pejabatnya di sini.
Nik Mohd Amar, yang juga Timbalan
Pesuruhjaya III PAS Kelantan itu, berkata jika perhimpunan itu dilakukan secara
aman untuk mengkritik kerajaan ia tidaklah menjadi kesalahan bagi pengikut
parti itu berkumpul menzahirkan bantahan itu.
"Ada dua perkara yang berbeza
sama ada kita berkumpul untuk mengkritik kerajaan dan ketidaktelusan
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu tidak mengapa tetapi kita sudah sepakat
termasuk dalam DAP yang tidak setuju untuk kita jatuhkan kerajaan dengan cara
kegananasan," katanya.
Baru-baru ini Pas Pusat juga
berpendirian tegas tidak akan menyokong sebarang usaha oleh mana-mana pihak termasuklah
oleh kumpulan pro pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan secara kekerasan.
Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa
Ali berkata PAS berpendirian begitu kerana di negara ini masih terdapat
prosedur lain terutamanya melalui mahkamah atau petisyen untuk mencabar
keputusan PRU-13 itu.
Sementara itu Timbalan Ketua Dewan
Pemuda PAS, Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz turut menolak usaha seumpama itu dan
menyifatkan tindakan tersebut sebagai gopoh. -BERNAMA