SHAH ALAM - Muttaqa Asatizah dan Pendakwah Malaysia (Murshid) akan melaksanakan seminar hudud selepas berakhirnya Pilihan Raya Umum-13 (PRU13) bagi mengelakkan isu tersebut daripada terus dipolemikkan.

Pengerusinya, Dr Zaharuddin Abd Rahman berkata, seminar tersebut amat penting kerana akan mengumpulkan semua pihak termasuk pemimpin parti-parti politik bagi melontarkan pandangan masing-masing mengenai hudud.

"Kita mahu memberikan pemahaman kepada masyarakat supaya mereka jelas mengenai hukum hudud yang dianjurkan Islam. Seminar ini nanti bukan sahaja kepada umat Islam bahkan juga kepada orang bukan Islam.

"Dengan penganjuran seperti ini, orang bukan Islam akan memahami dan menerima baik hukum hudud," katanya, semalam.

Katanya, pemahaman hudud kepada orang bukan Islam bukanlah bererti memaksa mereka memeluk agama Islam tetapi ia penting demi kesejahteraan, kemakmuran dan penyatuan masyarakat berbilang agama dan kaum di negara ini.

"Saya harap pertemuan itu nanti bukanlah menjadi medan kepada parti-parti politik menegakkan pendirian mereka sahaja tetapi harus menjadi medan perbincangan yang sihat selaras dengan tuntutan Islam," katanya.

Isu hudud semakin menjadi perhatian selepas Pengerusi DAP, Karpal Singh dalam satu laporan baru-baru ini mempertikaikan hukum Islam tersebut dalam mengatasi jenayah.

Ekoran kenyataan Karpal tersebut, beberapa pemimpin Pas terutamanya Ketua Pemuda, Nasrudin Hassan menyifatkannya sebagai 'keterlaluan'. Sinar Harian