Isnin, 7 Ogos 2017

1MDB: PAS puas hati selepas jumpa Arul Kanda



PAS hari ini berkata mereka berpuas hati selepas mendengar penjelasan mengenai hutang yang ditanggung 1MDB dan pelan rasionalisasi hutang itu dari presiden 1MDB sendiri, Arul Kanda Kandasamy.

Arul Kanda memberikan penerangan kira-kira 2 jam kepada Timbalan Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan hampir 30 ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, serta tokoh jemputan seperti bekas menteri besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim.
Sidang meja bulat itu diadakan di Hotel de Palma, Ampang pada jam 9.00 pagi tadi.

“Secara keseluruhan bagi pihak kami kita berpuas hati dengan penjelasan yang dibuat Arul khusus pelan rasionalisasi yang telah dicadang beliau bagi mengatasi kemelut berlaku dalam 1MDB,” kata Tuan Ibrahim pada sidang media selepas sidang tersebut.

Syarikat kerajaan Abu Dhabi, International Petroleum Investment Company (IPIC) pada 1 Ogos memberikan masa 5 hari bekerja kepada 1MDB untuk melangsaikan hutang AS$603 juta (kira-kira RM2.58 bilion) yang gagal dibayar pada 31 Julai.
1MDB dalam kenyataan berkata mereka komited untuk memenuhi obligasi kepada IPIC pada Ogos nanti, tanpa memberikan tarikh khusus.

1MDB berkata semua bayaran kepada IPIC akan dibuat menerusi pelan rasionalisasi 1DMB, di mana ia akan menjual aset. Menurut 1MDB, kelewatan membayar hutang disebabkan perlu mendapatkan “kelulusan kawalan selia”.

Di sidang media hari ini, Tuan Ibrahim berharap 1MDB diberi peluang untuk menyelesaikan hutang kerana kelewatan menyebabkan kos faedah yang besar iaitu AS$1.9 bilion setahun.

Tuan Ibrahim memberitahu pemberita Arul Kanda turut menunjukkan laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengenai 1MDB kepada mereka.
“PAC tak boleh selesaikan masalah sebab dianggotai 8 ahli Parlimen BN dan 5 ahli Parlimen pembangkang, dan tindakan belum ada.”

Tuan Ibrahim mengulangi gesaan mewujudkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk melihat isu 1MDB, khususnya sebelum Arul Kanda dibawa masuk ke dana milik kerajaan itu.

“Cadangan tersebut telah dikemukakan presiden (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) pada 13 Oktober 2015. Saya fikir paling awal cetuskan idea RCI diwujudkan dalam isu 1MDB,” tambahnya.

“Kita harap tak banyak campur tangan politik sebab sudah ada pelan telah dikemukakan beliau (Arul).”

Arul Kanda tidak turut serta dalam sidang media PAS dan tidak mahu memberi sebarang ulasan kepada media.

SUMBER
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...