Selasa, 17 Disember 2013

Tiada Cubaan Kumpulan Abu Sayyaf, MNLF Ceroboh Pantai Timur Sabah - KP Esscom


LAHAD DATU: Ketua Pengarah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), Datuk Mohammad Mentek berkata, setakat ini tiada cubaan anggota kumpulan Abu Sayyaf atau Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) untuk menceroboh masuk ke kawasan pesisir pantai timur Sabah.
Beliau berkata, keadaan keselamatan di kawasan itu yang dikenali sebagai ZonSelamat Timur Sabah (ESSZONE) adalah terkawal dan terjamin.

Zon tersebut merangkumi 10 daerah meliputi jarak 1,733.7 kilometer dari Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.

Sehubungan itu Mohammad meminta orang ramai, bertenang dan tidak sesekali percaya kepada khabar angin yang boleh mengeruhkan keadaan.

"Berdasarkan risikan yang diperoleh ESSCOM, setakat ini tiada cubaan untuk menceroboh masuk oleh kumpulan Abu Sayyaf atau MNLF seperti didakwa. Oleh itu, saya ingin menasihatkan orang ramai agar tidak panik dan tidak menyebarkan sebarang maklumat tidak berasas termasuk melalui media sosial," menurutnya dalam kenyataan di sini, Selasa.

Pada Isnin, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pasukan keselamatan di kawasan pantai timur Sabah sentiasa dalam keadaan bersedia untukmenghadapi sebarang kemungkinan, termasuk ancaman serangan pihak asing.

Khalid berkata demikian kepada pemberita di Kuala Lumpur ketika ditanya mengenai dakwaan mengatakan beberapa kumpulan militan termasuk kumpulan Abu Sayyaf dan MNLF mahu menyerang tiga kawasan iaitu Pulau Selingan (Sandakan), Pulau Langkayan (Beluran) dan Resort Sukau (Kinabatangan).

Mohammad berkata, kawalan keselamatan di ESSZONE diperketatkan termasuk bilangan rondaan pelbagai agensi pertahanan dan keselamatan termasuk Tentera Laut Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Polis Marin.

"Kita juga meningkatkan pengawasan dan kawalan di pos-pos keselamatan bukan sahaja di pos kawalan di pulau tetapi juga di pos kawalan daratan," katanya.

Selain itu, Mohammad berkata Esscom, yang dipertanggungjawab menyelaras agensi pertahanan dan keselamatan di Esszone, mewujud dan menempatkan Pasukan Tindakan Pantas di beberapa tempat strategik bagi memintas bot atau kumpulan tertentu yang cuba memasuki perairan negara ini untuk melakukan jenayah penculikan.

"Pewujudan Pasukan Tindakan Pantas ini juga bertujuan untuk memastikan tidak berlaku atau mengelak sebarang pencerobohan.

"Bagi memperkukuhkan kawalan keselamatan di kawasan maritim kita, aset pertahanan dan keselamatan seperti kapal terbang dan helikopter turut digunakan," katanya.

Justeru, Mohammad memberi amaran kepada mereka yang cuba bersekongkol dengan pihak musuh, termasuk memberi maklumat kepada kumpulan yang ingin atau cuba menceroboh masuk untuk tujuan aktiviti penculikan, supaya tidak berbuat demikian kerana tindakan tegas akan dikenakan. - BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...