Ahad, 19 Februari 2017

Benarkah Jalur Gemilang diciplak dari bendera Amerika Syarikat..?



MENGENANG JASA MOHAMED BIN HAMZAH

24 tahun sudah Allahyarham Mohamed bin Hamzah meninggalkan kita. Beliau menghembuskan nafas terakhir pada 19 Februari 1993, sebelum usianya genap 75 tahun, di Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru. Siapakah beliau? 

Beliau adalah pencipta Bendera Malaysia (juga dikenali sebagai “Jalur Gemilang” sejak 1997). Beliau adalah sosok yang usahanya dinafikan oleh mereka yang kata “Bendera Malaysia meniru bendera Amerika Syarikat”. Beliau adalah sosok yang dihina oleh mereka yang kata “Jalur Gemilang bendera penjajah”. Mereka kata hanya bendera “Sang Saka Merah Putih” sahajalah bendera Nusantara yang sebenarnya. 

Semasa hayat beliau, Allahyarham tidak menerima sebarang pengiktirafan. Allahyarham sendiri merahsiakan identiti beliau sebagai pencipta bendera bangsa. Hanya selepas 11 tahun pemergian beliau, baru beliau diiktiraf sebagai pencipta Jalur Gemilang oleh kerajaan Malaysia pada tahun 2005, hasil daripada tinjauan yang dibuat oleh Harian Metro dan Arkib Negara. 

Ketika Allahyarham berusia 29 tahun, Majlis Perundangan Persekutuan Tanah Melayu menganjurkan pertandingan merekacipta bendera bagi Tanah Melayu yang bakal merdeka. Allahyarham yang merupakan seorang arkitek Jabatan Kerja Raya Johor telah menyertai pertandingan tersebut. 373 karyawan telah menyertai pertandingan tersebut dan rekabentuk yang dikemukakan oleh Allahyarham menjadi salah satu daripada 3 rekabentuk yang terpilih untuk penilaian terakhir. 

Undian dibuka kepada umum dan hasil undian yang disiarkan oleh The Malay Mail pada 29 November 1949 menunjukkan 42% telah memilih rekabentuk Allahyarham yang menampakkan pengaruh bendera Johor, negeri asal beliau. Kemudian ia diperakui oleh Majlis Raja-Raja pada 23 Februari 1950. Siapa kata ia “bendera penjajah”?

Jalur Gemilang tidak menciplak bendera Amerika Syarikat. Bendera Amerika Syarikat yang direka oleh Betsy Rose adalah diilhamkan oleh bendera Syarikat Hindia Timur Inggeris (East India Company - EIC) yang menjajah Amerika Utara sebelum 1776. Bendera EIC pula diambil daripada umbul-umbul Kerajaan Majapahit bernama “Getih-Getah Samudera” yang mempunyai 9 jalur merah putih, selepas kapal EIC belayar ke Kepulauan Melayu pada abad ke-17. Siapa meniru siapa?

Kedua-dua Getih-Getah Samudera (jalur merah dan putih) dan Sang Dwaja/Pataka (merah dan putih) adalah variasi panji-panji kebesaran Kerajaan Majapahit. Jadi, kedua-dua Jalur Gemilang dan Sang Saka adalah warisan Nusantara. Malah, bendera jalur merah putih masih dikibarkan oleh Tentera Laut Indonesia dan dinamakan sebagai “Ular-Ular Perang”. Kaki geopolitik macam saya memang melihat Getih-Getah Samudera lebih padan dengan jati diri kita sebagai bangsa pelaut/maritim.  

Sayang sekali, Allahyarham tidak lagi bersama kita. Kita tidak dapat tahu apakah motif Allahyarham memilih corak Getih-Getah Samudera. Yang dapat saya lihat, Allahyarham telah berusaha untuk menggabungkan warisan identiti agama (bulan bintang Uthmaniyyah) dan warisan bangsa (jalur merah putih Majapahit) dalam representasi yang begitu moden dan dinamik (betapa indahnya corak jalur melambai ketika dibelai angin). Malang sekali, kalau Allahyarham masih hidup, pasti hati beliau teriris dengan pelbagai tuduhan yang tidak berasas. 

Sudah sampai masa kita berikan pengiktirafan yang sewajarnya kepada Allahyarham. Hormatilah insan mulia yang telah memberikan kita Jalur Gemilang yang menjadi inspirasi kita tak kira waktu gembira, suka atau duka. Simbol yang menyatupadukan kita semua. Lambang yang menjadi kebanggaan setiap anak Malaysia.

Terima kasih Allahyarham Mohamed bin Hamzah. Tenanglah engkau di sana.

“Puncak dunia telah kau tawan,
Lautan luas telah kau redah,
Membawa semangat jiwa Merdeka,
Semangat jaya kami warganya” 

Kredit - Ayman Rashdan Wong

#MalaysianHeroes  
#KnowYourHeroes
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...