Rabu, 22 Februari 2017

KES BUNUH WARGA KOREA – POLIS KENAL PASTI TIGA LAGI SUSPEK



Kuala Lumpur, 22 Februari 2017 – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengenal pasti tiga lagi suspek yang terlibat dalam insiden pembunuhan warga Korea Utara pada 13 Februari lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato’ Sri Khalid bin Abu Bakar dalam kenyataannya sebentar tadi menyatakan ketiga-tiga suspek tersebut yang juga merupakan warga Korea Utara iaitu Ri Ji U (James), Kim Uk Il dan Hyun Kwang Song masih berada di dalam Malaysia serta pihak polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat untuk tampil membantu siasatan.

Dalam sidang media di Bukit Aman hari ini, beliau menjelaskan PDRM akan mendapatkan kerjasama daripada pihak konsulat negara terbabit bagi melicinkan proses siasatan.

Beliau turut mengingatkan kepada semua pihak agar tidak mempercayai sepenuhnya info-info yang tidak sahih berhubung dengan kes ini terutamanya di dalam media-media ‘online’ agar tidak mengganggu proses siasatan pihak polis.

Dalam pada itu, beliau turut menyentuh berkenaan isu paderi yang diculik baru-baru ini di Petaling Jaya di mana beliau menyatakan kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan juga isu tahanan lokap yang mati di Klang juga masih dalam tindakan pihak polis.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...