Rabu, 2 Oktober 2013

PDRM Hilang Aset RM 1.33 juta – Penjelasan Menteri & KPN


Berikut ialah penjelasan Menteri Dalam Negeri mengenai laporan Ketua Audit negara berkaitan kehilangan aset PDRM

PUTRAJAYA 2 Okt. – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, menegaskan tiada sebarang penyelewengan berlaku berhubung kehilangan aset Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjumlah RM 1.33 juta seperti yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara.

Ahmad Zahid berkata, laporan maklum balas berhubung kehilangan aset itu sudah pun diserahkan kepada Ketua Audit Negara, namun tidak sempat dimasukkan ke dalam laporan audit berkenaan. Katanya, lampiran yang dikeluarkan oleh Audit semalam dalam bentuk cetakan adalah sebelum maklum balas daripada KDN mewakili PDRM.

“Laporan telah diperjelaskan oleh pihak KDN mewakili PDRM. Telah jelaskan sebelum ini kepada Audit tapi tidak sempat dikeluarkan dalam laporan yang telah dicetak.

“Saya ingin tegaskan di sini tidak berlaku sebarang penyelewengan,” tegas beliau ketika sidang media sebentar tadi.
Semalam Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang mendedahkan kehilangan 309 aset PDRM meliputi senjata api, gari dan kenderaan yang bernilai RM1.33 juta.

Kehilangan aset yang dikeluarkan Bahagian Pengurusan Aset, Jabatan Logistik PDRM daripada 2010 hingga 2013 mendapati aset yang paling banyak adalah gari iaitu 156 unit diikuti senjata api 44 unit dan kenderaan 29 unit.

Sementara itu Ketua Polis Negara Tan sri Khalid Abu Bakar menjelaskan bahawa senjata api yang dilaporkan hilang baru-baru ini tidak pernah dilaporkan digunakan dalam mana-mana kes jenayah.

Setiap kehilangan ujarnya, dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Inkuiri bagi mengenalpasti punca kehilangan.
Beliau juga dalam pada itu tidak menolak kehilangan peralatan senjata PDRM berlaku ketika bertugas.

“Senjata api yang hilang ada ‘individual ID (identiti)’ dan sehingga kini belum ada yang dikesan digunakan oleh penjenayah.

“Apa yg penting kita sentiasa memantau, seperti mana yang saya sebut belum ada senjata api itu yang terlibat digunakan penjenayah,” jelasnya.

PDRM tambahnya memandang serius perkara ini dan sedang mempertingkatkan tindakan yang patut dikenakan kepada mana-mana pegawai yang bertanggungjawab menjaga peralatan tersebut.

“Kita akui ada kelemahan yang perlu dibaiki dan sedang diteliti,” tambahnya. - SUMBER
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...