Akhbar harian terkemuka Filipina melaporkan
bahawa sumber risikan negara itu mengaitkan seorang ahli politik Sabah yang
bersekutu dengan pemimpin pembangkang Malaysia sebagai antara 'faktor luaran'
yang didakwa bertanggungjawab menghasut waris kesultanan Sulu untuk menuntut
Sabah.
Laporan wartawan Philippines
Daily Inquirer, Nikko Dizon berkata Manila sedang memantau tiga kumpulan
yang digambarkan sebagai 'faktor luaran' di sebalik krisis pencerobohan di
Malaysia.
Laporan yang dimuat naik menerusi
laman web akhbar berkenaan pada Jumaat lalu turut menyebut bahawa sumber mereka
'secara konsisten menyebut' tiga kumpulan itu mengambil kesempatan terhadap
keputusan kesultanan Kirams untuk meneruskan tuntutan mereka ke atas Sabah.
Walaupun tuntutan Kirams dibuat
tahun lalu, sumber-sumber berkata dasar kerajaan Filipina berkenaan Sabah ialah
menganggap isu berkenaan tidak perlu disegerakan.
"Tetapi nampaknya sesetengah
orang mahu ia diselesaikan sekarang. Tapi mengapa sekarang, pada masa ini? Ia
adalah salah satu perkara yang dikaji perisikan kerajaan," tambah laporan
itu.
Sementara itu sumber lain berkata,
kumpulan juga menggunakan Kirams untuk agenda mereka sendiri.
"Ramai yang boleh mendapat
manfaat daripada insiden ini, bukan sahaja di Filipina tetapi di Malaysia
juga," kata sumber itu dipetik sebagai berkata.
Menurut pegawai perisikan yang
dipetik sebagai berkata, motif disebalik dakwaan penglibatan pembangkang
Malaysia dalam kejadian di Lahad Datu dikaitkan dengan pilihan raya umum akan
datang.
Laporan itu menyatakan bahawa
anggota pembangkang Malaysia yang akan bertanding di Sabah membuat hubungan
terlebih dahulu dengan Kirams.
"Rupa-rupanya, ahli politik ini
adalah salah seorang daripada individu yang berbincang dengan Kirams. Beliau
kononnya memberi sokongan daripada pihak pembangkang untuk menuntut
Sabah," kata sumber itu.
Baru-baru ini agensi berita Reuters
menerusi laporannya juga mengaitkan penglibatan pembangkang dalam pencerobohan
Lahad Datu.