PASIR
PUTEH - Masa depan dua beradik yang dilahirkan dengan dua jantina atau khunsa
masih kabur apabila keluarga mereka agak miskin serta tidak mampu menyediakan
kos pembedahan.
Pada
asalnya, kedua beradik itu dilahirkan sebagai wanita tapi turut mempunyai alat
kelamin lelaki yang menyebabkan pembedahannya menjadi sukar. Selepas Nor Intan
Syamimi Mohd Rahim, 5, dilahirkan sedemikian, adiknya, Liahana Dalisya yang
berusia 15 hari mengalami nasib sama.
Ibunya,
Noraziani Rameli, 30, berkata, kalau dulu dia hanya perlu menampung kos
perubatan Nor Intan seorang sahaja, kini kosnya berganda kerana Liahana juga
perlu dirujuk sebulan sekali ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM)
Kubang Kerian, Kota Bharu.
Katanya,
Nor Intan ada kalanya mengadu sakit kesan ketumbuhan alat kelamin lelaki itu
dan masalah sama sudah tentu akan dirasai Liahana tidak lama lagi jika tidak
dibedah awal.
“Saya
difahamkan pihak HUSM akan menentukan tarikh pembedahan, tempat pembedahan dan
kosnya pada 24 Julai nanti, ia cukup merimaskan kerana saya tidak mempunyai
wang untuk semua itu.
“Ketika
ini saya masih berhutang dengan HUSM sebanyak RM700 itu pun tidak terbayar dan
ditambah pula dengan kos pembedahan nanti,” katanya ketika ditemui di rumahnya
di Kampung Gong Tambak, Tasek Pauh, Selising dekat sini, semalam.
Noraziani
ibu kepada lima anak itu berkata, suaminya, Mohd Rahim Yusof, 40, hanya bekerja
sebagai buruh dengan pendapatan rendah serta tidak menentu.
“Saya
sudah mengemukakan masalah ini kepada pemimpin setempat untuk dipanjangkan
kepada wakil rakyat tapi sehingga kini belum mendapat maklum balas,” katanya.
Keluarga
itu bernasib baik kerana dapat mendiami rumah menerusi Program Perumahan Rakyat
Termiskin (PPRT) sejak tiga tahun lalu, sebelum ini mereka terpaksa menyewa
rumah.
Orang
ramai yang mahu membantu keluarga ini boleh menghubungi Noraziani di talian
0139715272. Kes bayi dilahirkan mempunyai dua jantina dipanggil sebagai
intersex dan dalam kebanyakan kes, proses mengenal pasti jantina sebenar bayi
agak rumit.
Sebagai ibu,
Noraziani yakin kedua anaknya perempuan dan hanya mengalami kecacatan yang
mendatangkan kesakitan kerana turut mempunyai alat kelamin lelaki.
“Alat
kelamin lelaki pada kedua anak saya tidak sempurna sebagaimana alat kelamin
perempuan, saya yakin mereka perempuan, sebab itulah saya menamakan mereka
dengan nama perempuan,” katanya.
Ketika
baru dilahirkan katanya, kedua anaknya itu berkulit agak gelap tidak seperti
anaknya yang lain.
“Saya
agak risau keadaan itu kekal, syukurlah kulit mereka beransur cerah apabila
membesar, bagaimanapun saya sedia menerima ketentuan takdir.
“Saya
menganggap semua ini sebagai dugaan ALLAH, saya berharap ada pihak yang sudi
membantu kami yang hanya mampu berdoa agar kedua anak saya ini dapat menjalani
pembedahan,” katanya.
Noraziani
berkata, dia menyedari Nor Intan malu serta ada kalanya tidak mahu keluar rumah
untuk bermain kerana diejek kawan-kawan.