Inspektor Mohamad Hasnal Jamil
menanggung kesakitan hampir 21 jam akibat ditembak dan tangan kanannya hampir
putus ditetak berkali-kali oleh pengganas Sulu di Semporna awal Mac lalu, dan
pada Selasa, beliau berkongsi cerita tanpa sedikit pun semangat juangnya luntur
demi negara.
"Cuma sedikit terkilan dengan
pandangan sesetengah pihak yang mengatakan peristiwa itu hanya sandiwara. Kami
tidak minta dihargai cukuplah percaya apa yang kami lalui bukan perkara
main-main.
"Kami berjuang demi bangsa dan
negara. Kalau sesiapa yang mengatakan ia sandiwara, jika berani pergilah ke
sana dan lihatlah sendiri," katanya pada majlis penghargaan dan sumbangan
perwira
'Operasi Daulat' oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi
dan Kepenggunaan di sini.
Menurut Mohamad Hasnal, 31, beliau
ditembak tiga kali mengenai perut dan lengan kirinya, ditetak tiga kali di kepala
dan tiga kali di tangan kanan semasa bertempur dengan musuh di Kampung Seri
Jaya, Semunul, Semporna Sabah, kira-kira pukul 7.30 malam, 2 Mac lepas.
"Selepas terkena tembakan itu,
saya diserang pula oleh pengganas yang cuba menetak dengan parang, mujurlah
saya dapat melawan kalau tidak mungkin menyebabkan leher saya putus.
"Dalam keadaan berlumuran darah
saya terpaksa berlari menyelamatkan diri di sebuah rumah kecil di kawasan
berhampiran tempat pertempuran," katanya yang ketika itu merasakan detik
kematian begitu hampir.
Beliau bersembunyi di rumah itu
bersama sekujur tubuh rakannya yang terkorban bersama sembilan anggota yang
lain. Hanya doa yang dapat diungkapkan di saat itu memohon perlindungan Allah.
"Rakan-rakan lain juga banyak
memberi sokongan dan kata-kata perangsang untuk saya tabah dan kuatkan
semangat, sementara menanti bantuan tiba, mereka membantu saya untuk minum,
yang ada hanya air hujan," katanya.
Malam dirasakan terlalu panjang
baginya, ditambah pula tidak dapat melelapkan mata kerana badannya dihurungi
lalat dan semut, sebab terlalu banyak darah yang keluar.
Dalam keadaan parah, beliau masih
menyembunyikan perkara sebenar apabila dapat menghubungi isterinya pada
keesokan pagi.
"Saya perlu tutup telefon sebab
bimbang dapat dikesan pengganas, jadi saya cuma beritahu akan menghubungi
isteri petangnya.
"Rakan-rakan hanya dapat
menjenguk sekejap-sekejap kerana mereka perlu sentiasa berjaga mengawasi
pergerakan musuh," katanya.
Bantuan tiba kira-kira pukul 5.30
petang (3 Mac), dan wira negara itu diterbangkan ke Hospital Tawau untuk
rawatan dan pembedahan.
Dua hari kemudian beliau sekali lagi
menjalani pembedahan di Hospital Selayang, Kuala Lumpur pula.
Anak kelahiran, Felda Teloi Timur,
Sik Kedah itu berkata apa yang dialami tidak melemahkan semangatnya untuk terus
menabur bakti, kerana baginya insiden ini antara cabaran dalam tugasan, dan
tanggungjawabnya mempertahan kedaulatan negara.
Mohamad Hasnal hadir bersama balu
dan waris yang terkorban dalam insiden pencerobohan pengganas di Lahad Datu dan
Semporna pada majlis itu.
Dua anggota polis terkorban di Lahad
Datu pada 1 Mac dan enam di Semporna Sabah pada 2 Mac.
Beberapa orang lagi cedera dan
seorang anggota tentera turut gugur dalam satu lagi pertempuran di Lahad Datu.
Seorang anggota tentera terbunuh
dalam kemalangan mengikuti konvoi Operasi Daulat itu.
Suasana pilu turut dirasakan pada
majlis itu, apabila syair bertajuk "Ayahku Seorang Perwira" hasil
nukilan Setiausaha Akhbar Menteri KPDNKK Datuk Ruhaidini Abd Kadir, dilagukan
oleh Tengku Khalidah Tengku Bidin. BERNAMA