KUALA LUMPUR: Pembunuhan Timbalan Ketua Pengarah Kastam
(Perkastaman/Cukai Dalam Negeri) Datuk Shaharuddin Ibrahim, di Putrajaya pada
Jumaat, mungkin mempunyai kaitan dengan tugas beliau sebagai pegawai kanan
kastam.
Anak saudara Allahyarham, Roslan
Ibrahim, 51, percaya Shaharuddin mungkin mempunyai banyak musuh disebabkan
tugasannya dalam jabatan kastam.
"Saya dan Shaharuddin kerap
bertemu dan minum bersama dan saya percaya kejadian itu mempunyai kaitan dengan
kerjanya," katanya kepada pemberita ketika menemani isteri dan keluarga
Allahyarham Shaharuddin di Hospital Kuala Lumpur (HKL), di sini.
Kesemua anggota keluarga Shaharuddin
hadir di hospital itu untuk menunggu proses bedah siasat. Allahyarham meninggal
dunia di Hospital Putrajaya pada pukul 9.20 pagi.
Timbalan ketua pengarah kastam itu
ditembak dua lelaki bermotosikal semasa dalam perjalanan ke pejabatnya, ketika
kereta yang dinaikinya berhenti di persimpangan lampu isyarat dari Lebuh
Sentosa ke Lebuh Wawasan dalam kejadian kira-kira pukul 8.15 pagi.
Roslan berkata kali terakhir beliau
bertemu Allahyarham ialah pada Ahad lepas dan mereka berbual sambil minum
bersama. "Allahyarham mempunyai lima orang anak. Dia seorang yang peramah
dan tidak sombong serta mempunyai hobi bermain golf. Dia selalu main golf di
Seremban," katanya.-BERNAMA