Selasa, 21 Ogos 2012

Akar umbi sokong Nasharudin....




KEPALA BATAS 20 Ogos - Ahli-ahli akar umbi Pas Pulau Pinang menyatakan sokongan padu terhadap pendirian bekas Timbalan Presiden parti itu, Nasharudin Mat Isa (gambar) yang sanggup melakukan apa sahaja bagi mempertahankan kesucian Islam.

Mereka juga bersependapat dengan Ahli Parlimen Bachok tersebut supaya Pas mengkaji semula kedudukannya termasuk keluar daripada pakatan pembangkang dan menjadi parti yang berdiri dengan sendiri.

Mereka turut melahirkan kekecewaan dengan sikap pemimpin tertinggi Pas yang membisu dalam soal penentangan keras DAP terhadap pelaksanaan hukum hudud.

Ketua Pas Cawangan Bagan, Azmi Jaafar berkata, pemimpin parti itu sepatutnya meletakkan kepentingan Islam dan perpaduan ummah melebihi agenda politik sempit mereka.

“Pemimpin atasan Pas dilihat mula menggadai prinsip perjuangan asal demi meraih sokongan politik pada pilihan raya semata-mata.

“Selama ini kami dididik oleh mereka supaya memegang teguh prinsip menegakkan Islam tetapi tiba-tiba mereka jugalah yang menggadai atau menjual prinsip tersebut demi meraih kuasa," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar yang dihadiri oleh sekumpulan ahli Pas Pulau Pinang termasuk yang pernah memegang jawatan-jawatan penting dalam parti itu di sini Jumaat lalu.

Khamis lalu, sebaik sahaja tiba dari Mekah, Nasharudin mengadakan sidang akhbar khas bagi membalas kenyataan beberapa pemimpin Pas yang mempertikaikan kehadirannya di Tanah Suci bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mereka juga membidas Nasharudin berikutan kenyataan beliau yang menggesa Pas mengkaji semula kedudukannya dalam pakatan pembangkang jika DAP terus menolak pelaksanaan hukum hudud.

Sementara itu, bekas Setiausaha Pas Pulau Pinang, Mohamad Nordin Mohd. Nor berkata, pemimpin DAP terutama Pengerusinya, Karpal Singh secara terang-terangan menunjukkan beliau menentang penubuhan negara Islam.

Justeru, sebagai orang Islam, sudah semestinya menjadi kewajipan untuk ahli Pas menghentikan mana-mana perbuatan menyentuh perasaan dan kesucian agama itu.

“Sekiranya Karpal sanggup menggadai nyawa untuk memastikan sistem perundangan Islam tidak dilaksanakan di negara ini, maka ahli-ahli Pas juga rela berbuat perkara sama demi Islam," tegasnya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan Karpal dan pemimpin DAP lain supaya berhenti menimbulkan perkara sensitif sedemikian bagi mengelakkan keadaan buruk berlaku.

Bagi bekas Setiausaha Pas Kepala Batas, Abdul Halim Abd. Rashid, matlamat utama perjuangan Pas bukannya mahu memerintah Malaysia tetapi hendak mewujudkan keharmonian dalam kalangan semua kaum dengan cara berdakwah.

Beliau memberitahu, pemimpin Pas sepatutnya dapat mengajar erti perpaduan ummah sebenar kepada rakan mereka yang bukan Islam.

Tambahnya, mereka wajar menunjukkan Islam sebagai agama yang telah terbukti berjaya menjaga keharmonian semua kaum di dunia dengan asas-asas perpaduan sesama umat.

“Sebaliknya jika Pas sendiri kini menjadi juara perpecahan umat Islam dengan sikap dwistandard mereka dalam isu perpaduan ummah. Bagaimanakah keharmonian semua kaum dalam negara ini akan terjamin?" ujarnya. Sumber
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...