Isnin, 13 Ogos 2012

PRU 13 Oktober ini ...???



PUTRAJAYA - Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) tidak mungkin akan diadakan Oktober ini memandangkan umat Islam bakal menunaikan haji, kata Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Tarikh PRU13 terus dijadikan spekulasi oleh pelbagai pihak termasuk mengandaikan ia bakal diadakan pada bulan Oktober ini malah ada khabar angin mengatakan bahawa Perdana Menteri akan memanggil pilihan raya mengejut September ini iaitu selepas seminggu umat Islam menyambut Aidilfitri.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) berkata, sekiranya PRU13 diadakan pada tempoh masa tersebut sudah pasti banyak pihak akan mendakwa kerajaan tidak peka dengan Islam.

“Saya tidak berkeyakinan pilihan raya akan diadakan pada bulan Oktober, mandat akan habis pada bulan Mac tahun depan.

“(Pun begitu) saya tidak tahu mengenai itu dan semua ini perlu ditanya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri,” katanya kepada media pada Program Berbuka Puasa Maidatul Al-Rahman bertempat di Medan Selera Presint 8, semalam.

Sementara itu, Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung Umno berkata, parti itu akan menganjurkan Rumah Terbuka sempena Aidilfitri pada 1 Septemberi ini.

“Rumah terbuka ini akan diadakan sekali gus bersama Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri sendiri,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Putrajaya. Sinar Harian
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...