Isnin, 27 Ogos 2012

Nasib Ustaz Nasa 9 September...!! Adakah Akan Dipecat..??





Tanggal 9 September! Sudah pasti Pas sekali lagi menjadi tumpuan arena politik negara.

Biro Politik Pas Pusat menyerahkan kepada Majlis Syura untuk membuat keputusan mengenai satu kenyataan bekas Timbalan Presidennya, Nasharudin Mat Isa hampir dua minggu lalu.

Pemerhati politik sudah menjangkakan keputusan itu.

Pertama, Biro Politik dan Jawatankuasa Kerja Pas Pusat tidak boleh membincangkan sebarang tindakan tatatertib ke atas Nasharudin.

Selepas tewas dalam pemilihan Pas Pusat Jun 2011, Nasharudin dilantik menganggotai biro antarabangsa Pas Pusat. Beliau juga merupakan anggota Majlis Syura.

Kedua, Pas tidak mahu dilihat mengambil tindakan drastik dalam 'mood' sekarang menuju Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

"Apa yang diperkatakan oleh Nasharudin adalah unsur politik. Jadi Biro Politik membincangkan dan menyerahkan kepad Majlis Syura untuk membuat keputusan," kata seorang wartawan veteran dari lingkungan Pas sendiri.

"Selain tidak boleh bertindak ke atas seorang anggota Majlis Syura, Biro Politik pun tahu bahawa jika bertindak ke atas Nasharudin sekarang, ia seolah-olah membuka ruang kepada Umno dan BN untuk menyerang Pas," katanya.

Jadi, jelas beliau, "Apa yang akan berlaku ialah Majlis Syura akan memanggil atau mendapatkan penjelasan mengenai kenyataan meminta Pas keluar Pakatan Rakyat jika DAP terus mengkritik hukum hudud."

"Nasharudin akan memberi pandangan dan menjelaskan pendirian dia... Majlis Syura akan memberi nasihat atau memberi amaran... itu yang Majlis Syura akan lakukan," kata beliau.

Malah menurut beliau, Majlis Syura jarang mengambil tindakan disiplin atau memecat mana-mana anggotanya dari Pas. Lebih-lebih jika dia seorang anggota Majlis Syura.

"Kemungkinan menggugurkan sebagai anggota Majlis Syura, itu mungkin, tetapi pecat sebagai ahli Pas, jarang... jadi saya melihat ia akan berakhir setakat itu sahaja," kata beliau.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata,  kes Nasharudin diserahkan kepada Majlis Syura kerana ia adalah badan tertinggi dalam parti Islam itu.

"Anggota Pusat (Biro Politik dan Jawatankuasa Kerja Pas Pusat) tidak boleh membuat keputusan sebab Majlis Syura adalah paling tinggi... jadi semua itu diserahkan kepada Majlis Syura," katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online.

Mengenai opsyen tindakan yang boleh diambil, Mustafa berkata, "terpulang kepada Majlis Syura... sama ada untuk dipecat atau bagaimana... semua terpulang kepada Majlis Syura."

Majlis Syura diketuai Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Menteri Besar Kelantan. Nasharudin kini merupakan Ahli Parlimen Bachok.

Nik Aziz dan Nasharudin pernah 'bertembung' pada akhir 2009 - empat bulan selepas pemilihan pusat tahun itu. Pada pemilihan itu Nasharudin mempertahan kerusinya. Di sebalik isu idea kerajaan campuran yang dikaitkan dengan Nasharudin dan Datuk Dr Hasan Mohamed Ali, Nik Aziz mengesyorkan agar pemilihan baru diadakan. Awal Januari 2010, kedua-dua pemimpin memperlihatkan pemulihan hubungan.

Ketika diajukan soalan, Setiausaha Majlis Syura, Nik Zawawi Nik Salleh memberitahu Sinar Harian Online bahawa setakat ini, isu Nasharudin bukan agenda utama mesyuarat badan itu pada 9 September.

"Tak, tak... ia bukan perkara besar, hanya akan dibincangkan di bahagian perkara-perkara lain," kata beliau.

"Lagi pun kita belum bersidang lagi, ia hanya akan diketahui selepas mesyuarat 9 September," kata beliau apabila ditanya mengenai opsyen tindakan yang boleh diambil.

Diminta mengulas mengenai opsyen yang ada di pihaknya, katanya, "kita mungkin boleh beri nasihat."

"Kita belum mesyuarat lagi. Saya tidak boleh kata apa-apa," jelas beliau.

Nampaknya, kemungkinan-kemungkinan hasil pertemuan 9 September masih belum jelas.

Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub berkata, Biro Politik yang bermesyuarat semalam tidak membincangkan kes Nasharudin, sebaliknya memberi tumpuan ke atas persiapan menghadapi PRU13.

"Cuma apabila wartawan tanya, Presiden (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) memberitahu ia akan ditentukan oleh Majlis Syura. Sebab Nasharudin bukan ahli Jawatankuasa kerja Pas Pusat, bukan anggota Biro Politik," kata beliau.

Mengakui bahawa Majlis Syura tidak pernah mengambil tindakan drastik sehingga memecat seseorang, Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man ketika menjelaskan opsyen yang ada berkata, "opsyen pertama, kami akan mendapatkan penjelasan daripada Ustaz Nasha sendiri berkenaan dengan kenyataan dikeluarkan."

"Berdasarkan penjelasan beliau, Majlis Syura akan menentukan tindakan yang hendak diambil," katanya.

Beliau yang juga salah seorang anggota Majlis Syura berkata, sekiranya apa yang dilakukan oleh Nasharudin serius, selaku "badan yang memandu parti dan ahli", ia akan mengesyorkan kepada mana-mana "organ dalam parti" untuk mengambil tindakan sewajarnya.

Organ yang dimaksudkan termasuklah Lembaga Disiplin, yang boleh menggantung keahlian, memecat atau memberi amaran.

"Biasanya syor yang diberikan oleh Majlis Syura akan dipatuhi oleh organ parti," kata Pesuruhjaya Pas Pahang ini.

Laporan Sinar Harian hari ini memetik bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali berkata beliau yakin kedudukan Nasharudin dalam parti kekal selamat dan tidak mungkin dipecat.

"Pas tidak akan pecat beliau kerana keadaan politik semasa tidak mengizinkan mereka (Pas)," katanya yang dipecat pada awal Januari lalu.

Berdasarkan senario hari ini, rata-rata Nasharudin, yang dua minggu lalu menegaskan tidak akan keluar Pas untuk menyertai Umno, akan selamat.

Perlembagaan Pas ada menyediakan opsyen tindakan. Tetapi opsyen pada realiti politik semasa nampaknya terhad buat Pas walaupun bertindak drastik ke atas Hasan pada 8 Januari lalu. Sinar Harian
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...