Rabu, 15 Ogos 2012

PM Ditemubual Dua Stesen Televisyen Arab..




MAKKAH: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa diberi penghormatan untuk ditemubual secara eksklusif oleh dua stesen televisyen yang berpengaruh di dunia Arab iaitu Al Huda TV dan Al Maijd TV.

Selain meminta Perdana Menteri menyampaikan amanat ringkas dan ucapan Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam di dunia menerusi siaran televisyen berbahasa Inggeris itu, Najib juga ditanya mengenai rahsia kejayaan Malaysia menjadi sebuah negara Islam yang maju dalam pendidikan dan ekonomi.

Perdana Menteri yang berada di tanah suci Makkah bagi mengetuai delegasi Malaysia pada Sidang Kemuncak Luar Biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang bermula hari ini, juga ditanya mengenai pendirian Malaysia mengenai isu-isu pergolakan di negara Islam dan penindasan umat Islam di Myanmar.

Najib menjelaskan bahawa Malaysia sentiasa memandang serius isu umat Islam di dunia hari ini dan Malaysia juga menggunakan beberapa pendekatan dalam membantu umat Islam di negara-negara berkenaan.

"Kita mesti melakukan sesuatu untuk membantu umat Islam di Syria dan Myanmar...kita mencari suara untuk mewakili umat Islam dan ia mestilah satu suara.

"Apa yang penting di negara-negara Islam kini ialah untuk mempunyai kepimpinan yang berkesan...di Malaysia, kami meletakkan Islam di tempat paling atas," katanya.

Mengenai bagaimana Malaysia berjaya dalam mengembangkan sistem kewangan Islam, Najib berkata: "Di Malaysia, kami percaya (sistem) kewangan Islam adalah sangat penting dan ia menjadi kompetitif kepada sistem perbankan konvensional".

Beliau berkata Malaysia menjadi peneraju dalam kewangan Islam dunia dengan menyediakan produk kewangan Islam, agresif dalam memberi latihan mengenai kewangan Islam dan mempunyai pakar untuk memberi panduan serta nasihat mengenai kewangan Islam. - BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...