Rabu, 15 Ogos 2012

BN Selangor Dedah Surat Arahan KPS Kepada ABBAS Kurangkan Bekalan Air Terawat ...!!

Mohd Zin (kanan) menunjukkan surat Arahan Kurangkan Pengeluaran Air Terawat semasa sidang media di Bangunan Umno Selangor, Shah Alam pada Rabu.-fotoBERNAMA



SHAH ALAM: Barisan Nasional (BN) Selangor pada Rabu mendedahkan surat arahan yang dikeluarkan oleh pengurusan atasan Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS) kepada Konsortium Abbas Sdn Bhd (ABBAS) untuk mengurangkan pengeluaran air terawat di negeri itu.

Koordinator BN Selangor Datuk Seri Mohd Zin Mohamed mendakwa arahan itu ditandatangani melalui satu memo bertarikh 29 Disember 2011 oleh Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif KPS Suhaimi Kamaralzaman agar ABBAS mengurangkan pengeluaran air terawat daripada kira-kira 142 juta gelen sehari kepada hanya 120 juta gelen sehari.

Katanya, salinan surat itu turut dihantar kepada Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara Datuk Teo Yen Hua dan Ketua Pegawai Eksekitif Syabas, Datuk Ruslan Hassan.

"Arahan ini yang dikatakan dicapai setelah perbincangan dengan pihak Lembaga Pengarah KPS menyebabkan berlakunya krisis air di kawasan Kajang dan Balakong memandangkan ABBAS mengendalikan Loji Rawatan Air Sungai Semenyih.

"Kerajaan negeri bersikap retorik apabila sering kali mengatakan bahawa semua agenda mereka adalah demi kepentingan rakyat, namun arahan pengurangan kapasiti air terawat ini jelas membuktikan bahawa mereka sebenarnya lebih mementingkan diri sendiri berbanding rakyat," katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini, Rabu.

Dalam perkembangan lain, Mohd Zin mendakwa kebanyakan pemegang saham Kumpulan Hartanah Selangor Bhd (KHSB) tidak dimaklumkan mengenai keputusan kerajaan Selangor merampas tanah seluas 234 hektar dengan nilai mencecah RM250 juta milik syarikat itu Ogos tahun lepas kerana didakwa terdapat aktiviti kuari dilakukan secara haram.

Menurutnya, tindakan tanah itu dirampas mencurigakan apabila pada 4 Ogos 2011, mahkamah menetapkan tanah itu dimiliki secara sah oleh anak syarikat KHSB, SAP Holding Berhad.

"Tanpa menghiraukan arahan mahkamah, pada 25 Ogos 2011, tanah yang bernilai RM250 juta ini dirampas oleh kerajaan negeri tanpa alasan yang kukuh.
"Majoriti pemegang saham KHSB tidak dimaklumkan mengenai perkara ini," dakwanya.

Mohd Zin turut memohon penjelasan daripada kerajaan negeri mengenai status tanah itu sekarang sama ada untuk pembangunan ataupun pertanian.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebelum ini mengakui kerajaan negeri membuat keputusan merampas tanah itu atas alasan KHSB didapati telah melanggar syarat-syarat yang ditetapkan.

Mengikut laporan media, tanah berkenaan yang dipajakkan oleh kerajaan negeri kepada KHSB sepatutnya tamat pada 25 Jun 2090. - BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...