Isnin, 13 Ogos 2012

Chong Wei, Pandelela tetamu khas jamuan teh Putera William..



KUALA LUMPUR - Pemenang pingat Olimpik London Datuk Lee Chong Wei dan Pandelela Rinong adalah antara tetamu yang dijemput menghadiri jamuan teh oleh Suruhanjaya Tinggi Britain di sini sempena lawatan Duke dan Duchess of Cambridge ke Malaysia pada September ini.

Simon Featherstone berkata Suruhanjaya Tinggi itu akan turut menjemput dua pemenang bertuah 'The Ultimate Royal-Tea Competition', iaitu pertandingan foto anjuran suruhanjaya itu sempena lawatan Putera William dan isterinya  Catherine ke Malaysia.

Pertandingan itu yang dibuka kepada semua penduduk Malaysia dibahagikan kepada dua kategori -- bawah 18 tahun dan 18 tahun ke atas -- dengan mengemukakan foto digital diri sendiri, sahabat handai atau kaum keluarga, sedang menikmati teh di lokasi yang kreatif, katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

"Kegemaran meminum teh adalah sesuatu yang dikongsi oleh rakyat Malaysia dan Britain," katanya dan menambah foto itu akan diadili berdasarkan keaslian, kreativiti dan kualiti.

Lima puluh penyertaan pertama, selain 50 pemenang kedua, akan menerima sebuah bekas teh Diamond Jubilee edisi terhad yang dicipta khas oleh Boh, dan foto terbaik akan dipamerkan semasa jamuan teh berkenaan, katanya.     --

Featherstone berkata untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari http://ukinmalaysia.fco.gov.uk/en/ atau laman Facebook www.facebook.com/bhckl.

Duke dan Duchess akan tiba di Malaysia pada 13 Sept untuk lawatan rasmi tiga hari, termasuk Sabah, selepas melawat Singapura dari 11 hingga 13 Sept selain ke Kepulauan Solomon (16-18 Sept) dan Tuvalu (18-19 Sept).

Beliau berkata lawatan ini menyusuli lawatan pasangan diraja itu ke Kanada dan Los Angeles tahun lepas. - Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...