Isnin, 13 Ogos 2012

Pura-pura solat elak dicekup...??



GEORGETOWN - Seorang wanita warga asing berpura-pura solat hampir 30 minit bagi mengelakkan dia ditahan penguatkuasa ketika operasi bersepadu menyelamatkan pengemis dan kutu rayau di sekitar bandar ini.

Bagaimanapun, taktik wanita itu tidak mampu memperdaya penguatkuasa daripada menangkapnya kerana bergelandangan di sekitar Masjid Kapitan Keling, semalam.

Bukan wanita itu sahaja cuba memperdaya, tetapi ada juga yang memberitahu kehadiran mereka adalah bertujuan membayar zakat kepada amil di masjid itu yang dilantik kerajaan.

Tidak cukup itu, ada juga yang menyembunyikan diri di dalam tandas masjid dengan harapan mereka tidak ditahan, namun kecekapan penguatkuasa membuatkan mereka tewas dengan lakonan itu.

Kesemua mereka adalah antara 42 pengemis dan kutu rayau yang ditahan pihak berkuasa dalam operasi bersepadu menyelamatkan pengemis dan kutu rayau.

Operasi berkenaan melibatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), polis, Ikatan Relawan Malaysia (Rela), penguatkuasa Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Agama Islam Negeri Pulau Pinang.

Pada mulanya, operasi itu hampir terbantut apabila seorang remaja mengejutkan orang ramai dengan menjerit "Lari..lari...selamatkan diri...depa dah mai dengan trak.”

Kebanyakan mereka ketika itu sedang menunggu sumbangan makanan yang disedekahkan peniaga sekitar sebelum solat Asar menjadi kecoh apabila remaja berkenaan mengejutkan mereka terdapat operasi bersepadu menyelamatkan pengemis dan kutu rayau di sekitar bandar ini.

Ada yang berlari, ada yang terpaksa menolak laju kerusi roda dan ada kanak-kanak yang menangis kerana ditinggalkan ibu bapa mereka.

Ada antara mereka tidak sempat membawa sekali beg pakaian, bantal dan pelbagai peralatan lain yang diletakan di ‘perkampungan sementara’ apabila melihat kelibat pihak berkuasa, semalam.

Operasi bersepadu dilakukan selamat mendapat maklumat pengemis dan kutu rayau yang semakin berleluasa di beberapa kawasan negeri ini terutamanya di bulan Ramadan.

Ketua Operasi, Khairul Amri Ahmad berkata, pihaknya berjaya menyelamatkan kira-kira 42 orang pengemis dan kutu rayau yang berada di sekitar kawasan Masjid Kapitan Keling.

Menurutnya, selain Masjid Kapitan Keling, beberapa lokasi tumpuan lain kumpulan turut diserbu antaranya di sekitar Lebuh Queen, Jalan Penang dan Padang Kota Lama.

“Kita menerima aduan dari orang ramai dan peniaga yang mengadu terasa terganggu dengan kehadiran kumpulan pengemis dan gelandangan ini.

“Memang setiap kali bulan Ramadan mereka akan berkumpul di sekitar kawasan masjid ini bagi menantikan orang ramai yang ingin bersedekah dan memberikan makanan percuma namun tindakan kumpulan pengemis dan kutu rayau ini yang berkampung di kawasan kaki lima kedai berhampiran masjid membuatkan peniaga di sekitar kawasan itu tidak selesa,” katanya kepada media  ketika ditemui selepas selesai operasi berkenaan.

Khairul berkata, ada di antara pengemis dan kutu rayau  yang ditahan pernah diselamatkan sebelum ini.

"Ada juga sanggup datang Kedah, Perlis dan Perak semata-mata mahu mengharapkan ihsan orang ramai sempena bulan Ramadan," katanya.

Sementara itu, bagi yang diselamatkan, Khairul berkata, pihaknya akan mengenal pasti latar belakang mereka terlebih dahulu termasuk menghubungi ahli keluarga mereka untuk memaklumkan perkara ini segera.

"Bagi kes yang tidak mempunyai ahli keluarga kita dan perlu diberikan perlindungan kita akan tempatkan di beberapa institusi kebajikan buat sementara yang akan ditentukan oleh mahkamah,” katanya. Sinar Harian


P/S : Terima kasih kepada semua anggota & agensi yang terlibat di dalam menjayakan Operasi Membanteras Pengemis & Kutu Rayau pada 11 Ogos 2012 di sekitar Bandar George Town. Dipohon juga kepada masyarakat supaya behenti memberi sedekah kepada pengemis supaya dapat membantu mengurangkan masalah pengemisan. Kalau nak bersedekah, gunakanlah saluran yang lain seperti derma kepada rumah anak yatim atau membayar zakat. Bersedekah adalah satu tuntutan agama, tetapi tahukah anda para pengemis ni boleh mendapat RM300 sehari hasil aktiviti pengemisan, mereka menjadikannya jalan mudah untuk mendapat wang sedangkan ada di kalangan mereka yang masih mampu bekerja. Jadi berhenti memberi, kami prihatin...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...