Ahad, 12 Ogos 2012

Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai kehadiran pendatang asing di Sabah akan menyiasat segenap aspek..

 


KOTA KINABALU 11 Ogos - Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai kehadiran pendatang asing di Sabah akan menyiasat segenap aspek isu berkenaan termasuk bilangan mereka yang diberikan kad pengenalan biru, kewarganegaraan dan sama ada didaftarkan sebagai pemilih.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, RCI juga akan menyiasat sama ada pemberian dokumen berkenaan adalah sah mengikut peruntukan undang-undang atau sebaliknya.

Beliau berkata, Yang di-Pertuan Agong telah memberi perkenan terhadap cadangan Kerajaan Persekutuan untuk menubuhkan RCI di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 bagi menyiasat kehadiran pendatang asing di Sabah.

"Ia akan dipengerusikan oleh bekas Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak, Tan Sri Steve Shim Lip Kiong dengan dibantu oleh empat Pesuruhjaya dan dikehendaki menyelesaikan siasatan dalam tempoh enam bulan dari tarikh tauliah pelantikan dikeluarkan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Badan Perhubungan UMNO negeri dan Jawatankuasa Barisan Nasional (BN) negeri di sini hari ini.

Perdana Menteri dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor adalah dalam rangka lawatan sehari ke Sabah sempena majlis berbuka puasa bersama rakyat di Bongawan, Kimanis dekat sini.

Najib berkata, empat Pesuruhjaya RCI ialah bekas Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah, Prof. Datuk Seri Dr. Kamaruzaman Ampon; bekas Peguam Besar Sabah, Tan Sri Herma J. Luping; Timbalan Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia yang juga bekas Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Henry Chin Poy-Wu dan bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Kee Mustafa.

"Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Saripuddin Kasim dilantik sebagai Setiausaha suruhanjaya ini," katanya Sumber

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...