Isnin, 20 Ogos 2012

Pemuda Pas Akui DAP Tak Terima Hudud...




Dewan Pemuda Pas Pusat mengakui DAP tidak menerima pelaksanaan hukum hudud selepas beberapa kali perbincangan dibuat dan atas pendirian itu Pas tidak akan memaksa parti berkenaan menerima undang-undang Islam tersebut.

Bagaimanapun ketuanya, Nasrudin Hasan, menegaskan bahawa DAP tidak boleh menghalang Pas mendaulatkan syariat Islam di negara ini kerana ia merupakan asas perjuangan parti itu sepanjang zaman.

“Saya akui hudud bukan agenda pakatan pembangkang tetapi ia adalah sebahagian daripada Islam yang tetap diperjuangkan oleh Pas sepanjang zaman, insya-Allah.

“Selebihnya menjadi dakwah berterusan Pas untuk memahamkan masyarakat terhadap hukum syariat Islam. Saya doakan semoga (Pengerusi DAP) Karpal Singh diberikan hidayah Allah SWT, sebagaimana doa saya buat yang lain juga,” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman sosial Facebook.

Karpal sebelum ini berkata, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Muktamar ke-57 parti itu Jun tahun lepas secara umum menyatakan bahawa tidak ada disebut negara Islam dalam Al-Quran tetapi negara kebajikan manakala hukum hudud tidak termasuk dalam kerangka Buku Jingga.

Dalam perkembangan berkaitan, Nasrudin mengakui ketika diadakan debat Sinar Harian baru-baru ini, beliau telah memetik kenyataan Karpal, “langkah mayat saya dulu” untuk menubuhkan negara Islam.

“Saya telah quote kenyataan Karpal ketika diadakan Konvensyen Pakatan Rakyat di Pulau Pinang pada tahun 2010 yang lalu bahawa petikan “langkah mayat saya dulu” untuk menubuhkan negara Islam sebagai ucapan yang disebut 20 tahun yang lalu telah dipetik di luar konteks.

“Malah Karpal sendiri menyebut perkara ini boleh dibincangkan,” katanya.

Dalam pada itu Nasrudin berkata, hukum hudud adalah undang-undang jenayah syariah yang telah diwahyukan oleh Allah SWT dan sesiapa tidak boleh menafikan. Ia merupakan satu kewajipan yang mesti dilunaskan oleh sebuah pemerintahan Islam.

“Hudud adalah sebahagian daripada Islam yang diperjuangkan oleh Pas sejak awal penubuhannya. Ertinya perjuangan Pas bukan berpaksikan hudud semata-mata.

“Sebaliknya paksi perjuangan Pas ialah Islam dan hudud itu sebahagian daripadanya. Ditegaskan di sini bahawa Pas konsisten memperjuangkan Islam,” ujarnya.

Pemerintahan Islam itu pula katanya adalah terbentuk daripada mandat Dewan Rakyat khasnya rakyat yang beragama Islam. Tanpa mandat tersebut pemerintahan Islam tidak akan dapat dibina dengan baik.

“(Oleh itu) jika Pas menang bersendirian melalui mandat majoriti rakyat yang diterjemah melalui peti undi, maka parti ini pastinya akan melaksanakan syariat Islam dalam semua aspek termasuk undang-undang jenayah syariah sebagai alternatif kepada kegagalan sistem dan undang-undang ciptaan manusia menangani gejala mungkar dan jenayah.

“Namun secara realitinya, iklim politik dan latar belakang masyarakat yang majmuk dalam negara kita sangat sukar untuk Pas menang dan membentuk sebuah pemerintahan secara bersendirian. Ini satu realiti yang diakui walaupun ia bukanlah suatu yang mustahil,” katanya.

Atas asas itu juga Nasrudin berkata, UMNO perlu menyerahkan semua kerusinya kepada Pas atau paling tidak bersama menyertai parti itu.

“Dengan itu, jumlah kerusi Pas atau muslim akan melonjak maksimum kepada 130 kerusi Parlimen bagi membentuk sebuah kerajaan Islam yang bersedia mendaulatkan syariat yang adil, saksama dan telus.

“Penegasan ini saya buat kerana untuk Pas menyertai UMNO bagi melaksanakan syariat Allah sukar menjadi kenyataan. Ini kerana Pas pernah dikhianati oleh UMNO sewaktu parti itu menyertai Kerajaan Campuran bersama UMNO,” katanya. mynewshub

P/S : Kenapa ya PAS tidak bertanding disemua kerusi Parlimen atau sekurang - kurangnya separuh kerusi dari Peruntukan PR jika benar - benar ingin melaksankan Negara Islam dan Hudud..??

Lagi Info Disini :



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...