Ahad, 12 Ogos 2012

Rohingya: Mapim mahu Malaysia desak Myanmar...



SHAH ALAM - Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mahu rakyat Malaysia bersatu mendesak kerajaan Myanmar menghentikan kekejaman dan penindasan terhadap umat Islam Rohingya,  yang berlarutan lebih dua bulan.

Setiausaha Agungnya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, desakan tersebut perlu disampaikan kepada kerajaan Malaysia, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Asean supaya penderitaan etnik Rohingya yang tertindas hampir setiap hari itu dihentikan dengan segera.

“Jika tindakan lambat diambil, lebih ramai yang akan menjadi mangsa.

“Pada masa yang sama, Mapim sedang berusaha menambah maklumat terkini mengenai keadaan di kawasan bergolak di portal kami termasuk media untuk dimaklumkan kepada rakyat negara ini,” kata beliau kepada Sinar Harian Online dalam satu pertemuan di sini, semalam.

Semalam, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga melahirkan suara tegas beliau berhubung isu etnik Rohingya.

Keganasan kaum yang melanda di negeri Rakhine itu bermula sejak 3 Jun lalu membabitkan penganut Buddha dan Rohingya, mengakibatkan kira-kira 80 orang terbunuh di kedua-dua belah pihak setakat ini.

Mohd Azmi juga berkata, Mapim akan memulakan misi menghantar bantuan kepada masyarakat Rohingya esok, bermula di pusat pelarian yang terletak sempadan Thailand-Myanmar.

Kini, kawasan itu menempatkan lebih 110,00 pelarian.

Pihaknya akan menghantar empat kontena yang mengandungi bekalan seberat 1,200 tan makanan seperti beras, tepung dan susu yang telah siap dipaket.







Dalam perkembangan berkaitan Mohd Azmi menambah, sewaktu delegasi Mapim tiba di Arakan, Myanmar untuk menyalurkan misi bantuan kepada rakyat Rohingya pada 1 hingga 3 Ogos lalu, jelas terpancar suasana tidak ceria dan dukacita etnik yang tertindas itu.

"Apabila mereka tahu ada orang Islam dari negara lain datang, mereka merayu dan minta tolong agar nasib mereka dibantu.

"Lebih menyedihkan, kebanyakan masjid ditutup oleh kerajaan Myanmar atas alasan curiga umat Islam berkumpul beramai-ramai," katanya.

Jelas beliau, sehingga semalam, sudah lapan minggu solat Jumaat tidak dapat dijalankan manakala 32 masjid dipercayai sudah dibakar oleh pihak tentera.

Ketika diminta mengulas tentang peranan Mapim yang dilihat begitu  komited dalam membela nasib orang Rohingya yang ditindas, beliau  berkata, suara kaum etnik malang itu kurang didengari oleh masyarakat dunia menyebabkan pihaknya tampil menghulurkan bantuan.

"Sebelum ini, Mapim telah pergi ke beberapa negara seperti Indonesia, Thailand, India, Bangladesh, Iran dan Mesir untuk bertemu dengan aktivis-aktivis Islam, badan bukan kerajaan (NGO) dan pejuang hak asasi manusia mereka untuk memaklumkan penderitaan yang dihadapi oleh orang Rohingya.




 
"Selain itu, kami juga menulis surat kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Pertubuhan Kerjasama Islam dan Asean dan mendesak supaya pihak mereka segera campur tangan bagi mengatasi isu ini," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, ujar Mohd Azmi, rakyat Malaysia yang ingin menghulurkan bantuan dalam bentuk kewangan, boleh menghantar ke Akaun Tabung Rohingya atas nama Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia BIMB 120470-100-37282.

Sementara itu, ketika mengulas mengenai beberapa cadangan supaya pelarian-pelarian wanita Rohingya yang berada di negara ini diambil bekerja sebagai pembantu rumah bagi menggantikan tugas dari pembantu rumah Indonesia yang satu ketika dulu menjadi kontroversi mengenai tuntutan gaji, Mohd Azmi berkata, orang Rohingya merupakan satu etnik yang konservatif.

Jelas beliau, mereka tidak membenarkan wanita keluar bekerja kerana bagi mereka, tugas mencari rezeki adalah tugas kaum lelaki.

"Walaupun cadangan itu ada baiknya tapi saya merasakan ia bertentangan dengan budaya mereka dan sukar untuk dilaksanakan disebabkan oleh batasan budaya ini," katanya.






Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...