Isnin, 13 Ogos 2012

Raja Abdullah sedia dana AS$50 juta bantu Etnik Rohingya

MEKAH 12 Ogos - Pemerintah Arab Saudi, Raja Abdullah semalam mengarahkan supaya disediakan AS$50 juta (RM155 juta) untuk membantu etnik Rohingya di Myanmar.

Agensi berita Saudi Gazette melaporkan, bantuan tersebut disediakan bagi membantu etnik Rohingya yang kini mengalami pembersihan etnik, seperti dibunuh, dirogol dan dipaksa meninggalkan tempat tinggal mereka.

Kabinet Arab Saudi pada minggu lepas mengutuk tindakan pembersihan etnik Rohingya di Myanmar sebagai tindakan kejam dan melanggar hak asasi mereka yang bertujuan memaksa etnik itu meninggalkan tempat tinggal mereka.

Dalam pada itu, enam pertubuhan antarabangsa Rohingya dalam satu surat terbuka mengucapkan terima kasih kepada masyarakat antarabangsa dan negara-negara Islam kerana memberikan sokongan kepada etnik tersebut.

Laman web Mizzima News melaporkan surat tersebut ditandatangani oleh Pertubuhan Rohingya Myanmar United Kingdom, Persatuan Rohingya Myanmar Jepun, Masyarakat Rohingya Myanmar di Australia, Masyarakat Rohingya Myanmar di Norway, Persatuan Rohingya Myanmar di Thailand dan Liga Rohingya untuk Demokrasi (Myanmar), dikeluarkan empat hari lalu.

''Berdasarkan situasi sekarang, kami meminta masyarakat antarabangsa dan negara-negara Islam untuk memberikan bantuan kemanusiaan di Myanmar dan Bangladesh.

''Kedua-dua negara ini meletakkan syarat tidak munasabah dalam menyediakan bantuan dan tindakan itu boleh mengakibatkan kehilangan nyawa ,'' kata surat itu.

Ia berkata, pihaknya meminta negara Islam memastikan etnik Rohingya yang kehilangan tempat tinggal boleh pulang ke kampung asal mereka dengan selamat dan bebas selain menyediakan perlindungan yang diperlukan.

Enam pertubuhan itu juga menggesa negara Islam menjalankan siasatan berhubung konflik etnik dan agama di Myanmar yang bermula sejak Jun lalu dan hasil siasatan itu disertakan dalam resolusi mengenai Myanmar pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Majlis Keselamatan PBB akan datang. - AGENSI Utusan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...