Ahad, 12 Ogos 2012

Isu Air Selangor - Kerajaan Negeri Cuba Sabotaj Syabas


Isu Air Selangor : Arahan Kumpulan Darul Ehsan Bhd. (KDEB) Dipersoal...???


Pendedahan mengenai isu bekalan air di Selangor memasuki fasa baru apabila hari ini Barisan Nasional (BN) negeri mendakwa krisis air yang berlaku di Kajang dan Balakong baru-baru ini sebenarnya berpunca daripada kelemahan kerajaan negeri.

Koordinator BN negeri, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed mendakwa pihaknya menerima maklumat bahawa Pengarah Kumpulan Darul Ehsan Bhd. (KDEB), Suhaimi Kamaralzaman telah mengeluarkan surat kepada Konsortium Abbas Sdn. Bhd (Abbas) pada tahun lalu supaya mengurangkan pengeluaran air terawat daripada 145 juta gelen sehari kepada 120 juta gelen sehari.

"Tindakan itu menyebabkan berlaku krisis air di kawasan Kajang dan Balakong memandangkan Abbas mengendalikan Loji Rawatan Air Sungai Semenyih.

"Persoalannya adalah kenapa Suhaimi mengeluarkan arahan tersebut kepada Abbas? Adakah KDEB atau kerajaan negeri ingin melakukan sabotaj terhadap rakyat Selangor dan Syabas," katanya pada sidang akhbar di bangunan UMNO Selangor di sini.

Minggu lalu, beribu-ribu penduduk di sekitar Kajang dan Balakong mengalami masalah gangguan bekalan air bersih setelah berbulan-bulan lamanya pendedahan dilakukan oleh pelbagai pihak yang mengingatkan tentang krisis tersebut yang bakal berlaku di negeri ini.

Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor yang menafikan akan berlaku krisis air akhirnya turut terpaksa menghantar lori-lori tangki untuk membekalkan air kepada para penduduk, sekali gus menunjukkan masalah itu begitu serius.

Bagaimanapun, kerajaan negeri menuding jari kepada Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) kerana gagal menyediakan air bersih kepada para penduduk sehingga Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mahu mengambil alih perkhidmatan itu daripada syarikat konsesi berkenaan.

Mohd. Zin yang juga Ahli Parlimen Sepang mempersoalkan kenapa Syabas dipersalahkan sedangkan kawasan yang mengalami gangguan bekalan tersebut melibatkan lokasi agihan air yang disalurkan oleh loji rawatan di bawah Abbas.

Malah, beliau turut melahirkan rasa hairan dengan sikap seorang Exco kerajaan negeri, Ean Yong Hian Wah yang melakukan demonstrasi di pejabat Syabas Kajang dekat sini pada 5 Ogos lalu seperti disiarkan secara besar-besaran dalam akhbar berbahasa Cina, seolah-olah menunjukkan masalah air bukan berpunca daripada kerajaan negeri.

"Adakah beliau lupa bahawa beliau sekarang merupakan sebahagian daripada kerajaan yang memerintah. Adakah beliau tidak tahu tanggungjawab kerajaan negeri adalah menyediakan air bersih kepada rakyat?," katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Zin turut melontarkan persoalan tentang tahap kemampuan kerajaan negeri yang berkali-kali bertegas mahu mengambil alih industri bekalan air itu sedangkan maklumat diperoleh oleh BN Selangor menunjukkan saham 15 peratus milik KDEB dalam Syabas telah dicagarkan kepada semua bank bagi tujuan pinjaman bernilai RM250 juta.

"Adakah kerajaan negeri begitu daif sehingga terpaksa mencagarkan saham KDEB dalam Syabas bagi memohon pinjaman. Jika benar ini berlaku, mampukah kerajaan negeri mengambil alih Syabas kerana saham berjumlah 15 peratus pun tidak mampu untuk diuruskan, inikan pula sebuah syarikat pembekalan air yang begitu penting," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri begitu berbangga dengan skim pemberian air percuma kononnya dinikmati oleh semua rakyat dan mendakwa ia adalah hasil daripada pengurusan ekonomi yang cekap oleh Menteri Besar.

Namun, kata Mohd. Zin, pihaknya mendapat maklumat bahawa kerajaan negeri terpaksa membuat pinjaman sehingga RM300 juta setahun dengan kadar faedah sebanyak RM8 juta bagi tujuan meneruskan skim bekalan air bersih percuma.

"Kerajaan negeri sebenarnya tersepit dengan janji-janji manis pemberian air percuma. Adakah ini satu langkah pentadbiran yang bijak apabila terpaksa berhutang dengan bank untuk memberikan air percuma dan bagaimanakah pelan untuk melangsaikan hutang-hutang tersebut?," katanya.

Beliau berkata, hakikatnya pakatan pembangkang tidak mampu mentadbir dan menguruskan ekonomi dengan baik sehinggakan isu penting seperti pengurusan air tidak dapat diselesaikan dengan mudah.

"Langkah terakhir mereka seperti biasa ialah mengelirukan rakyat dan tidak bercakap berasaskan fakta," katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...